KAPIT: Pembangunan di kawasan Tunoh di sini yang telah lama tertangguh akibat beberapa isu teknikal kini berjaya diselesaikan, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, dengan selesainya isu berkenaan, kerajaan Sarawak akan meneruskan semula pelaksanaan pembangunan di kawasan itu yang telah dirancang sejak era mendiang Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing.
“Sekarang semua masalah sudah beres dan kita akan teruskan pembangunan di kawasan itu,” katanya ketika berucap dalam Majlis Merarau Bersama Komuniti Kapit di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, antara pembangunan yang diluluskan ialah pembinaan jalan sepanjang tujuh kilometer ke kawasan Tunoh.
“Kalau kawasan Tunoh hendak dibangunkan, kita mesti mempunyai jalan. Maka kita telah meluluskan pembinaan jalan Tunoh sepanjang tujuh kilometer bagi menghubungkan kawasan berkenaan.
“Dalam masa yang sama dapatlah kita membangunkan penempatan semula rumah panjang di kawasan ini,” tambahnya.
Selain kawasan Tunoh, Abang Johari mendedahkan bahawa kerajaan Sarawak juga telah meluluskan peruntukan bagi pembinaan jalan akses baharu yang menghubungkan kawasan Belaga dan Bakun, bagi menyokong pelaksanaan projek solar di Bakun.
Beliau berkata, projek berkenaan turut melibatkan pembinaan jeti di kawasan terbabit.
“Kosnya agak tinggi, namun kita telah meluluskan peruntukan bagi membangunkan jalan akses antara Belaga dan Bakun supaya ladang solar di kawasan itu dapat dijalankan,” ujarnya.
Dalam masa yang sama katanya, sebuah kampung baharu juga akan dibangunkan di Kapit bagi menyediakan kediaman yang lebih selesa untuk masyarakat tempatan.
“Bagi memudahkan kehidupan masyarakat yang menjalankan aktiviti di sungai, kita akan membangunkan sebuah kampung baharu yang menyediakan rumah lebih selesa untuk digunakan oleh penduduk tempatan,” ujarnya.



