KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bersiap siaga dengan menempatkan pegawai-pegawainya secara bergilir bagi memastikan kelancaran bantuan kepada mangsa banjir yang semakin meningkat di beberapa negeri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata, pegawai JKM telah diatur mengikut jadual tugas bagi memastikan bantuan dapat diberikan dengan segera dan berkesan.
“Mereka mengambil giliran dalam menjalankan tugas bagi memastikan kelangsungan operasi bantuan,” katanya dalam Majlis Perasmian Program Ihya Ramadan dan Majlis Sumbangan Ramadan 1446H di Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya, hari ini.
Nancy menegaskan bahawa pegawai JKM yang bertugas ketika bencana telah diberi arahan untuk terus berada di lapangan bagi menyalurkan bantuan segera. Malah, cuti mereka juga telah dibekukan bagi memastikan operasi bantuan berjalan lancar.
Setakat ini, Johor merupakan negeri paling teruk terjejas dengan lebih 8,148 mangsa daripada 2,476 keluarga ditempatkan di 97 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima daerah.
Nancy berkata, selain Johor, negeri lain yang turut terjejas termasuk Sabah dan Sarawak.
“Di Sabah, seramai 1,193 mangsa daripada 369 keluarga ditempatkan di sembilan PPS melibatkan lima daerah.
“Di Sarawak, kawasan yang terjejas ialah Kapit dan Song dengan 79 mangsa daripada dua keluarga di tiga PPS,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan bahawa kementeriannya sentiasa memantau keadaan semasa dan bersedia menyalurkan bantuan tambahan jika diperlukan.
“Saya sudah bertanya dengan Menteri Pendidikan sama ada memerlukan pertambahan dari segi bantuan. Setakat ini, beliau maklumkan keadaan masih terkawal.
“Jika ada keperluan mendesak, kita akan segera bertindak bagi memastikan kebajikan mangsa banjir terus terbela,” tambahnya.
Dalam program tersebut, sebanyak 160 penerima sumbangan bakul makanan daripada Persatuan Isteri dan Pegawai Wanita Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (PERISMA), Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Sarawak bagi membantu lebih ramai penerima di kawasan sekitar.
Kesemua penerima terdiri daripada penduduk Kampung Tabuan dan kakitangan bomba Tabuan serta polis dari Tabuan dan Bintawa.
Selain itu, sebanyak 1,000 bungkus bubur asyura turut diedarkan kepada penduduk setempat.


