Program Citra Nusa@Muzium yang dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara menerusi Jabatan Muzium Malaysia (JMM) bertujuan untuk penghayatan masyarakat kepada kepelbagaian warisan negara.
Hasrat Kementerian Perpaduan Negara pada tahun ini adalah untuk ‘Memperdayakan Muzium’. Ini kerana, muzium berperanan untuk merapatkan hubungan dan perpaduan kaum menerusi penyertaan secara inklusif dalam pelbagai aktiviti berteraskan warisan seni dan budaya serta merupakan platform integrasi kaum. Bersesuaian dengan fungsinya sebagai guardian of heritage yang mengumpul, memelihara serta melestarikan koleksi sejarah, seni budaya dan warisan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Sebanyak 11 program yang telah dilaksanakan di bawah Citra Nusa@Muzium seperti:
a. Citra Nusa@Melaka
b. Citra Nusa@Festival Hari Muzium Antarabangsa 2024
c. Persidangan Antarabangsa Sejarah Kedah Tua Berdasarkan Catatan Yi Jing
d. Citra Nusa@ Magis Belantara 2024
e. Museum Unity Trail
f. Bermalam Di Muzium (Pelajar dan Belia)
g. Citra Nusa@Indonesia
h. Nostalgia Anak Kampung
i. Citra Nusa@Muzium Adat
j. Citra Nusa@Muzium Arkeologi Lembah Bujang
k. Citra Nusa@Muzium Kayang
Seperti kita sedia maklum, Malaysia kaya dengan budaya serta seni warisan yang dimiliki hasil integrasi kaum sejak zaman-berzaman. Dengan kekayaan yang dimiliki ini, program seumpama ini perlu diadakan secara berterusan dan bersifat inklusif merangkumi semua segenap lapisan masyarakat. Memfokuskan perpaduan dalam kepelbagaian berupaya mengeratkan jalinan antara kaum akan rasa kepunyaan bersama terhadap setiap budaya yang dibawa dari leluhur masing-masing, menyemai rasa hormat dan kefahaman antara satu sama lain dalam hidup bernegara.
MUZIUM LABUAN DIWARTAKAN SEBAGAI TAPAK WARISAN
Muzium Labuan diwartakan sebagai Tapak Warisan oleh Jabatan Warisan Negara pada 5 Mac 2024 melalui Pewartaan Kerajaan Persekutuan bertarikh 10 Oktober 2024.
Lokasi Muzium Labuan yang berada di kawasan bandar dan pembangunan ini boleh menjejaskan struktur bangunan muzium. Tapak warisan mempunyai nilai sejarah dan warisan yang tinggi. Kebanyakan tapak warisan mudah terganggu oleh faktor aktiviti pembangunan. Tapak warisan perlu dilihat sebagai entiti yang kekal dan tidak boleh diperbaharui, bernilai tinggi dan amat sensitif. Melalui pewartaan ini bangunan muzium dapat dikekalkan dan dilindungi daripada kesan pembangunan dan sebagainya.
Muzium Labuan mensasarkan 24,000 pengunjung untuk melawat muzium pada tahun 2024 dan telah mencapai sasaran pada September 2024. Melalui pengiktirafan tapak warisan, Muzium Labuan dapat menarik ramai pengunjung untuk datang ke Muzium.
STATISTIK JABATAN MUZIUM MALAYSIA
Statistik Jabatan Muzium Malaysia merangkumi bilangan pengunjung keseluruhan, pelawat tempatan, serta pelawat luar negara ke 22 buah muzium di bawah pentadbiran Jabatan Muzium Malaysia. Pada umumnya, data ini menunjukkan bagaimana trend lawatan pelawat berubah setiap tahun dengan penurunan ketara semasa pandemik COVID-19, dan peningkatan kembali pada tahun 2023 dan 2024.
Statistik pelawat Muzium-Muzium dibawah Jabatan Muzium Malaysia dari 1 Januari 2024 sehingga 30 September 2024 adalah sebanyak 1,602,449.
PAMERAN KHAS
• PAMERAN RAJA KITA
Tarikh : 25 Julai – 29 September 2024
Lokasi: Galeri 1 & 2, Jabatan Muzium Malaysia
Pameran Raja Kita mempamerkan sebanyak 272 koleksi berkaitan regalia diraja dan koleksi peribadi YDPA dan RPA. Lebih menarik, elemen utama yang diketengahkan dalam pameran ini ialah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 yang ditandatangani dan diisytiharkan oleh Sultan Abu Bakar pada 14 September 1895 di Istana Besar Johor di samping koleksi istimewa Mahkota Kerajaan dan Mahkota Permaisuri yang pernah digunakan semasa upacara kemahkotaan baginda Sultan Ibrahim pada tahun 2015.
Pameran Raja Kita telah menerima sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat dan latarbelakang pendidikan dengan secara rasminya mencatat kehadiran 59,350 pelawat tempatan dan luar negara sepanjang tempoh 2 bulan pameran diadakan melepasi sasaran jumlah pelawat iaitu 20,000 orang.
• PAMERAN PESONA TELEPUK: SENI PERADA EMAS
Tarikh : 28 Oktober sehingga 31 Disember 2024
Tempat : Galeri Saindera, Muzium Tekstil Negara, Kuala Lumpur
Pameran ini telah disempurnakan perasmiannya pada 13 November 2024 (Rabu) oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu.
Sebanyak 182 koleksi dipamerkan terdiri dari sebanyak 48 koleksi tekstil telepuk, 130 koleksi sarang atau cap telepuk dan 4 penerbitan buku serta manuskrip milik Jabatan Muzium Malaysia, Pergerakan Langkasuka, muzium-muzium negeri, agensi dan orang perseorangan.
Mempamerkan himpunan koleksi telepuk milik kerabat diraja untuk tatapan umum. Baju Layang dan Baju Sikap Bertelepuk milik Sultan Selangor; Baju Sikap milik Sultan Kedah; kain sarung bertelepuk milik Sultan Terengganu merupakan antara koleksi masterpiece dalam pameran ini.
PERPUSTAKAAN NEGARA MALAYSIA
Perpustakaan Negara Malaysia telah melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia, antaranya:
• Program Galakan Membaca – menyokong matlamat Dasar Buku Negara iaitu memastikan rakyat Malaysia mempunyai minat membaca yang tinggi dan menggunakan bahan bacaan yang berkualiti. Dalam tempoh Januari hingga September 2024, Program Galakan Membaca yang telah dilaksanakan adalah sebanyak 2,022 program dengan jumlah penyertaan sebanyak 18,204 penyertaan.
• Jom Baca Bersama 10 Minit 2024 – merupakan Program Galakan Membaca yang diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang disambut pada 23 April setiap tahun. UNESCO menetapkan Hari Buku Sedunia pada 23 April 1995 sebagai penghormatan terhadap beberapa penulis dunia seperti William Shakespeare, Miguel de Cervantes dan Inca de la Vega yang meninggal pada 23 April.
• Program Kembara Ilmu Ini Khazanah Kita – merupakan program khusus untuk meningkatkan Iagi pengetahuan, kefahaman dan penghayatan masyarakat pelbagai kaum tentang khazanah negara ini melalui kepelbagaian budaya di negeri Sabah yang unik dan mempunyai nilai estetika. Pameran ini juga telah menerima penganugerahan Malaysian Book of Records (MBOR) dengan tajuk “First Digital Library Exhibition Aboard A Train” sebagai program pameran digital pertama di dalam kereta api di Malaysia.
• Wacana Manuskrip Melayu – bertujuan untuk memperkukuhkan usaha kajian dan pemasyhuran manuskrip Melayu yang menjadi sebahagian daripada warisan budaya dan intelektual negara. Program ini memberi tumpuan kepada pembentangan hasil kajian serta perbincangan mengenai manuskrip Melayu oleh ahli akademik, pakar sejarah, serta individu yang terlibat dalam kajian manuskrip.
• Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu 2024 – Tema bagi PAMM 2024 ialah “Kitab Tib: 1001 Rahsia Ilmu Perubatan Tradisional”. Sebuah penerbitan iaitu e-Bibliografi Beranotasi Manuskrip Melayu Kitab Tib: Khazanah Kebitaraan Warisan Bangsa telah diterbitkan secara dalam talian sempena PAMM 2024 dalam bentuk flipbook dan memuatkan 112 deskripsi manuskrip Melayu kitab tib yang terdapat dalam koleksi Perpustakaan Negara Malaysia.
• Perolehan Manuskrip Melayu – membuat perolehan koleksi baharu manuskrip Melayu pada tahun 2024 dan sebanyak 84 naskhah manuskrip Melayu terdiri dari pelbagai subjek seperti agama Islam, kesusasteraan, astronomi dan ilmu tradisional Melayu telah diperoleh. Antara naskhah manuskrip Melayu yang diperoleh pada tahun ini ialah Hikayat Tuan Puteri Johan Melikat, Petua Membina Rumah, Ilmu Faal, Kitab Usuluddin dan Dalail al-Khairat.
Terdapat juga dua (2) naskhah manuskrip Melayu koleksi Aminah binti Rahim, agamawan wanita yang dianggarkan disalin pada tahun 1319H dan merupakan naskhah yang sangat jarang ditemui. Naskhah-naskhah lain ialah Ilmu Faal, Petua, Azimat, Ilmu Ramalan, Ilmu Ketika dan Ilmu Raksa iaitu dalam bidang ilmu tradisional Melayu. Selain itu manuskrip al-Quran yang mempunyai ragam hias Aceh dan Jawa juga antara koleksi terbaharu PNM yang bernilai tinggi dan menarik. Pecahan koleksi baharu manuskrip Melayu mengikut subjek bagi tahun 2024 adalah seperti berikut: (a) Keagamaan – 64 judul, (b) Ilmu Tradisional Melayu – 16 judul, (c) Kesusasteraan – 3 judul dan (d) Ilmu Astronomi – 1 judul
Sehingga Oktober 2024, hasil dari pengesanan yang dijalankan sejak tahun 1985 hingga kini, PNM telah berjaya mengumpul dan memperoleh sebanyak 5,252 naskhah manuskrip Melayu. Jumlah ini dijangka akan terus bertambah melalui perolehan manuskrip Melayu pada setiap tahun.
• Sehingga September tahun 2024, sebanyak 13,864 judul baharu (49,763 naskhah baharu) koleksi perpustakaan telah diterima dibawah Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331)
• Karnival Baca Perdana 2024 – merupakan program yang julung kalinya diadakan oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Program ini berlangsung selama sebulan pada sepanjang bulan Oktober 2024. Tema KBP 2024 adalah Perpaduan Melalui Pembacaan. Pelbagai aktiviti-aktiviti sampingan lain turut diadakan seperti Cabutan Buku Bertuah kepada pengunjung, Roda Ilmu, Demonstrasi Doktor Buku, Pintar Jawi, Demonstrasi u-Pustaka, Jawab dan Menang, Cabutan Bertuah (buku), Pertandingan Mewarna, Pameran dan Jualan Buku, Pameran Kaligrafi Melayu, Cina dan India dan banyak lagi.
• Perkhidmatan u-pustaka – merupakan perkhidmatan perpustakaan digital yang dapat diakses oleh seluruh rakyat Malaysia pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja melalui portal u-Pustaka di www.u-pustaka.gov.my. Perkhidmatan ini menawarkan lebih daripada 800,000 judul bahan bacaan digital melalui pautan sumber elektronik yang boleh diakses setiap masa secara percuma seperti e-buku, e-majalah, e-surat khabar, e-pembelajaran, e-jurnal dan buku audio.
Pada tahun 2024, sebanyak 18 pangkalan data komersial telah dilanggan dengan jumlah kandungan digital sebanyak 893,608 judul. Trend penggunaan bahan digital menunjukkan peningkatan sebanyak 42%.
Statistik penggunaan bahan digital sehingga September 2024 menunjukan peningkatan sebanyak 42% penggunaan daripada 2,661,578 (September 2023), meningkat kepada 3,778,841 (September 2024).
Sehingga September 2024, jumlah kumulatif jumlah keahlian u-Pustaka menunjukan peningkatan dengan jumlah keahlian pada September 2024 sebanyak 740,675 berbanding dengan September 2023 sebanyak 661,794.
• Program Sanggar Puisi Perpaduan 2024: Perpaduan Dirai, Bahasa Disantuni – pelbagai pengisian program telahpun diadakan bermula dari 15 Mei hingga 5 November 2024 iaitu seperti berikut:
Sayembara Novel Perpaduan: Perpaduan Dirai, Bahasa Disantuni (15 Mei – 31 Ogos 2024).
Pertandingan Penulisan Sajak, Syair dan Pantun Perpaduan (15 September – 15 Oktober 2024)
Sesi Bimbingan Teknik Penulisan dan Penyampaian Puisi Perpaduan (2 Oktober 2024).
Karnival Bahasa Melayu Peringkat Kebangsaan yang melibatkan Pertandingan Bercerita, Dendangan Syair dan Deklamasi Sajak (3 – 5 Oktober 2024).
Pameran Puisi Perpaduan yang menampilkan puisi ciptaan Sasterawan Negara dan tokoh-tokoh terkenal di dalam negara yang berkaitan perpaduan dan keharmonian masyarakat (5 November 2024)
JUMLAH PENGUNJUNG
Manakala sehingga September 2024, jumlah keseluruhan pengunjung yang dicatatkan adalah sebanyak 70,191. Sebanyak 69,251 (98.7%) adalah pengunjung perkhidmatan yang terdiri daripada 27,830 kanak-kanak dan 41,421 pengunjung dewasa. Manakala 940 (1.3%) adalah pengunjung bukan perkhidmatan iaitu 937 pengunjung rasmi dalam negara dan 3 pengunjung rasmi luar negara.

