KUCHING: Selepas 30 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam Sarawak, bekas Controller Kualiti Alam Sekitar Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Datu Jack Liam kini bersedia melangkah ke dunia politik sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.80 Batu Danau.
Jack, 55, berkata pemilihannya sebagai calon satu kejutan kerana beliau tidak pernah terbabit secara langsung dalam politik sebelum ini.
Beliau berkata, berita pencalonan itu hanya diterima Ahad lalu dan beliau menyelesaikan urusan persaraan pilihan pada Isnin.
“Ini sebenarnya satu kejutan dan pengalaman baharu bagi saya, terutama sebagai bekas penjawat awam.
“Saya agak gementar apabila mendengar nama sendiri diumumkan sebagai calon, namun akan melakukan yang terbaik untuk N.80 Batu Danau,” katanya ketika ditemui selepas menerima watikah pencalonan GPS di Ibu Pejabat PBB di sini hari ini.
Pencalonan itu diumumkan oleh Pengerusi GPS merangkap Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Mengulas persiapan jentera, beliau berkata jentera GPS di Batu Danau sudah bersedia dan beliau akan kembali ke kawasan itu esok untuk bertemu anggota jentera serta menyelaraskan persiapan menjelang hari penamaan calon.
Katanya, penyandang kerusi berkenaan, Datuk Paulus Palu Gumbang turut memberikan sokongan dan membantu memastikan kesiapsiagaan jentera GPS.
Anak kelahiran Kampung Bidang, Batu Danau itu berkata, beliau berketurunan Bisaya dan memahami kepelbagaian masyarakat di kawasan berkenaan yang turut mempunyai pengundi majoriti Iban.
Beliau berkata, sekiranya diberi mandat, keutamaan beliau ialah memastikan pembangunan dilaksanakan secara adil untuk semua komuniti di kawasan itu.
Dari segi pendidikan, Jack memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Perhutanan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Sarjana Pengurusan Alam Sekitar, pengkhususan dalam Perancangan Pembangunan daripada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Sebelum ini, kerusi DUN Batu Danau disandang Paulus yang mewakili kawasan itu sejak 2006, iaitu empat penggal berturut-turut.
Beliau pertama kali memenangi kerusi berkenaan pada PRN 2006 ketika mewakili Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), sebelum mempertahankannya pada PRN 2011 dan 2016.
Pada PRN 2016, beliau bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) sebelum menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Pada PRN Sarawak 2021, beliau mempertahankan kerusi itu atas tiket GPS dengan memperoleh 3,030 undi, menewaskan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Ali Adap, yang memperoleh 2,324 undi, dengan majoriti 706 undi.


