ARTIKEL

PKR Sarawak tidak bertanding demi kestabilan politik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak memutuskan tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13 sebagai tanda menghormati semangat kerjasama politik dan muafakat bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Kerajaan Perpaduan.

Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak dalam kenyataan media berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kepentingan mengekalkan kestabilan politik serta keharmonian hubungan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Keputusan itu turut mencerminkan komitmen parti memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak, khususnya dalam melaksanakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Langkah itu juga bertujuan memastikan agenda pembangunan, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sarawak terus diberikan perhatian,” katanya.

PKR Sarawak turut mengarahkan seluruh jentera dan pimpinan parti di semua peringkat supaya mematuhi serta menghormati ketetapan berkenaan.

Hubungan baik dengan rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya GPS, hendaklah dijaga.

Parti berkenaan menegaskan akan terus mendukung prinsip demokrasi, agenda reformasi dan keadilan sosial, di samping melaksanakan tanggungjawab serta khidmat bakti kepada rakyat Sarawak tanpa mengabaikan peranannya di negeri ini.

Parti itu turut menegaskan pendiriannya untuk terus menjunjung prinsip kerjasama politik, semangat muafakat dan persefahaman yang dibina bersama GPS demi kestabilan serta keharmonian negara.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU