SIMANGGANG: Datuk Francis Harden Hollis dan Datuk Razaili Gapor menjadi dua lagi penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi masing-masing pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13 akan datang.
Pengumuman kedua-dua wakil rakyat itu dibuat secara berasingan malam tadi.
Harden menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang selama enam penggal sejak 1996, manakala Razaili berkhidmat sebagai wakil rakyat Beting Maro sejak 2011.

Dalam kenyataannya, Harden berkata, keputusan berhubung pemilihan calon baharu bagi kerusi DUN Simanggang diserahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan dan pertimbangan Premier Sarawak serta kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Katanya, beliau yakin kepimpinan parti akan menentukan calon terbaik bagi meneruskan khidmat dan agenda pembangunan untuk rakyat di kawasan berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kepercayaan, sokongan serta kerjasama yang diberikan sepanjang 30 tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat.

“Tempoh 30 tahun merupakan perjalanan yang tidak mungkin dapat saya lalui tanpa sokongan masyarakat, para pemimpin tempatan, tuai rumah, ketua-ketua masyarakat, pertubuhan, persatuan, badan bukan kerajaan (NGO), rakan seperjuangan dan semua pihak yang sentiasa berada di belakang saya.
“Saya sedar bahawa tidak semua perkara dapat dilaksanakan dengan sempurna, namun saya berharap segala usaha dan khidmat yang telah dicurahkan sedikit sebanyak telah membawa manfaat kepada masyarakat di Simanggang.
“Oleh itu, biarpun saya tidak lagi bertanding, Simanggang akan sentiasa dekat di hati saya. Segala pengalaman, persahabatan dan kenangan bersama anda semua akan saya hargai selamanya,” katanya.
Sementara itu, Razaili berkata, keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi DUN Beting Maro dibuat selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan, khususnya bagi memberi peluang kepada generasi pemimpin muda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) meneruskan kesinambungan perjuangan parti serta agenda pembangunan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, langkah itu juga bertujuan membuka ruang kepada pembentukan kepimpinan baharu bagi memperkukuh masa depan Sarawak.
Beliau menegaskan, keputusan untuk tidak menawarkan diri sebagai calon pada pilihan raya akan datang tidak bermaksud beliau akan menghentikan khidmat kepada masyarakat atau perjuangannya bersama parti.



