KUCHING: Institusi Galeri, Perpustakaan, Arkib dan Muzium (GLAM) perlu berkembang melangkaui pengurusan koleksi secara konvensional dan menjadi peserta aktif dalam membangunkan ekosistem pengetahuan yang boleh dipercayai, mudah diakses dan inklusif, khususnya dalam era digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI).
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kepentingan institusi berkenaan semakin ketara apabila masyarakat berdepan cabaran maklumat palsu, kandungan yang dimanipulasi, sumber maklumat yang berpecah-pecah serta bahan yang dijana AI dengan semakin canggih.

Beliau berkata, pengetahuan, teknologi dan inovasi ialah elemen penting dalam merealisasikan aspirasi Sarawak untuk menjadi masyarakat berpendapatan tinggi, maju dan inklusif menjelang 2030.
“AI dan pendigitalan menawarkan peluang kepada Sarawak untuk meningkatkan produktiviti, menambah baik penyampaian perkhidmatan awam serta membangunkan aktiviti ekonomi baharu dalam pelbagai sektor.

“Kita perlu memastikan inovasi menyumbang kepada penambahbaikan yang bermakna dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan, penyertaan ekonomi, pentadbiran awam dan kualiti hidup secara keseluruhan,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee pada Majlis Makan Malam Pelancaran Persidangan Pengetahuan Antarabangsa (IKC) 2026 yang bertemakan “Pengetahuan Dipercayai dalam Era AI: Peranan Institusi GLAM yang Semakin Berkembang” di sebuah hotel di sini, malam ini.
Abang Johari berkata, aspirasi pembangunan Sarawak memerlukan lebih daripada pelaburan dalam infrastruktur fizikal dan teknologi baharu kerana kemajuan mampan turut bergantung kepada ilmu pengetahuan, modal insan, keupayaan institusi dan inovasi.
Menurutnya, usaha membina pengetahuan yang dipercayai dalam era AI tidak boleh digalas oleh satu institusi sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama antara kerajaan, institusi GLAM, universiti, sekolah, syarikat teknologi, persatuan profesional, masyarakat sivil dan komuniti.
Beliau berkata, persidangan seperti IKC 2026 penting bukan sekadar sebagai platform pertukaran pembentangan dan pandangan, malah turut berperanan mewujudkan hubungan kerjasama antara pelbagai pihak.
“Hasil paling bermakna daripada persidangan selama dua hari ini ialah perkongsian, idea dan inisiatif praktikal yang akan diteruskan selepas kita meninggalkan tempat ini,” katanya.
Beliau turut menggalakkan semua peserta supaya mengikuti perbincangan dengan fikiran terbuka, pemikiran kritis dan kesediaan untuk mencabar amalan sedia ada.
Katanya, semua peserta digalakkan mengenal pasti peluang bagi penyelidikan bersama, projek rintis, program pembangunan kapasiti dan kerjasama rentas sempadan yang mampu memajukan pengetahuan yang dipercayai.
“Kecerdasan buatan akan terus mengubah cara kita bekerja, berkomunikasi, memelihara maklumat dan menyampaikan perkhidmatan, sekali gus menawarkan peluang yang perlu disediakan oleh institusi kita untuk dimanfaatkan.
“Bagaimanapun, masa depan ilmu pengetahuan tidak akan ditentukan oleh teknologi semata-mata, sebaliknya turut bergantung kepada nilai, prinsip dan tanggungjawab yang menjadi panduan dalam pembangunan serta penggunaannya,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak Datuk Dr Rashidah Bolhassan, Ahli Lembaga Pustaka Negeri Sarawak Datuk Lo Khere Chiang dan Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak Japri Bujang Masli.



