ARTIKEL

ALEYSHA lancar video muzik sulung

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Penyanyi muda kelahiran Sarawak, Aleysha Shareef Van Der Horst, terus mengorak langkah dalam industri muzik antarabangsa apabila melancarkan video muzik rasmi bagi single sulung berbahasa Inggerisnya, SHINE LIKE US, baru-baru ini.

Pada usia 13 tahun, Aleysha membuktikan kemampuannya mengembangkan bakat ke peringkat global apabila karya tersebut mula mendapat perhatian pendengar di beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Belanda, Belgium dan Mexico, selain pasaran Amerika Latin.

Pelancaran video muzik itu menjadi satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan seninya selepas mencipta sejarah pada April lalu apabila menjadi artis rakaman termuda Malaysia yang menerbitkan single berbahasa Inggeris untuk pasaran muzik antarabangsa arus perdana.

Lagu SHINE LIKE US hasil ciptaan penerbit muzik dari Amerika Syarikat yang menerima pengiktirafan multiplatinum, Manny Mijares, dirakamkan di Los Angeles dan menjadi karya pertama yang memperkenalkan Aleysha kepada pendengar antarabangsa.

Video muzik berkenaan pula diterbitkan oleh agensi produksi tempatan, Kayu Malam Productions, arahan Mark Nyambang dengan pelibatan tenaga teknikal dan jurukamera tempatan.

Ibu Aleysha, Shirley Hasmani Datuk Eddie berkata, penghasilan video muzik berkualiti profesional itu merupakan langkah seterusnya untuk memberikan identiti visual kepada lagu berkenaan, sekali gus membantu anaknya mencapai lebih ramai pendengar.

Menurutnya, keluarga berbesar hati dengan hasil produksi tersebut dan berharap video muzik itu dapat membuka lebih banyak peluang kepada Aleysha untuk mengembangkan kerjaya dalam industri muzik antarabangsa.

Menariknya, video muzik berkenaan turut mengetengahkan identiti Malaysia dan Sarawak menerusi paparan Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak serta Jalur Gemilang dan bendera Sarawak.

Shirley berkata, unsur tersebut dimasukkan bagi menggambarkan asal usul Aleysha serta rasa bangganya sebagai anak Malaysia dan Sarawak yang membawa impian ke pentas dunia.

“Kami mahu penonton melihat bukan sahaja seorang penyanyi muda yang sedang mengejar impiannya, tetapi juga anak Sarawak yang bangga mewakili negeri kelahirannya,” katanya kepada Suara Sarawak baru-baru ini.

Perjalanan seni Aleysha sebelum ini turut dihiasi dengan beberapa pencapaian yang membanggakan, termasuk meraih pingat emas dan dinobatkan sebagai Juara Divisyen pada Kejohanan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) 2024.

Lebih membanggakan, beliau mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama yang menerima Anugerah Biasiswa Akademi Filem New York sejak pertandingan itu diperkenalkan.

Aleysha kemudian dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan bagi kategori vokal Junior II dalam pertandingan USA Artists of the Year 2025.

Selepas melancarkan SHINE LIKE US pada April, beliau meneruskan perkembangan kerjaya muziknya menerusi single kedua yang berjudul WINGS pada Ogos lalu.

Bagi Aleysha, pelancaran video muzik sulung itu menjadi pengalaman bermakna yang akan dikenang sepanjang perjalanan seninya.

Beliau turut melahirkan rasa gembira kerana dapat berkongsi pengalaman tersebut bersama-sama adik kembarnya, Ryan Zachary, yang turut mempunyai minat dalam bidang nyanyian dan membuat penampilan dalam video muzik berkenaan.

“Saya sangat gembira dengan hasilnya dan berharap masyarakat di seluruh dunia dapat menikmati video muzik ini sebagaimana kami seronok menjayakan proses penghasilannya,” katanya.

Dengan dua lagu ciptaan asli, pengiktirafan antarabangsa dan video muzik rasmi sulung, Aleysha kini semakin mengukuhkan identitinya sebagai bakat muda Sarawak yang berpotensi mencipta nama di persada muzik dunia.

BERITA LAIN

MARAPATI: Gabungan Teater, Sinematik

KUCHING: Gabungan lakonan secara langsung dan paparan sinematik menerusi konsep Hibrid Teater Sinematik menjadi keunikan utama Muzikal Teater Marapati yang bakal dipentaskan pada 4 Disember

BERITA TERBARU

Jana limpahan ekonomi berganda

KUCHING: Penganjuran Sukan SEA 2027 di Sarawak dijangka memberikan limpahan ekonomi dan pelancongan yang besar kepada pemain industri tempatan, khususnya usahawan kecil, pengusaha kraf tangan

Novel tiga dekad masih memikat

Tajuk: Anom Suraya Penulis: Dr. Samsiah Mohd. Nor Penerbit: Idea Kreatif Publication (2026) Jumlah Halaman: 236 Halaman Kali terakhir penulis membeli buku mungkin ketika masih