Tajuk: Anom Suraya
Penulis: Dr. Samsiah Mohd. Nor
Penerbit: Idea Kreatif Publication (2026)
Jumlah Halaman: 236 Halaman
Kali terakhir penulis membeli buku mungkin ketika masih di bangku sekolah menengah.
Ketika itu, pilihan bahan bacaan lebih tertumpu pada biogra , geogra dan sejarah.
Jarang sekali penulis melangkah ke bahagian fiksyen, apatah lagi novel, mungkin kerana kekurangan imaginasi dan kreativiti untuk menghayati dunia penceritaan.
Namun, pada usia 32 tahun, hati penulis akhirnya terjentik untuk membeli sebuah novel berjudul Anom Suraya karya Dr. Samsiah Mohd Nor.
Menariknya, bukan nama pengarang atau sinopsis cerita yang terlebih dahulu mencuri perhatian, sebaliknya wajah ayu anak pengarang sendiri yang terpampang pada kulit buku tersebut, tidak lain dan tidak bukan ialah pelakon Daiyan Trisha.
Barangkali inilah kali pertama penulis membeli sebuah novel kerana tertarik dengan wajah anak pengarangnya sendiri.
Novel itu dibeli menerusi platform Shopee pada harga RM31, termasuk kos penghantaran ke Sabah dan Sarawak.
Pembelian tersebut secara tidak langsung membawa penulis kembali kepada pengalaman yang sudah lama ditinggalkan sejak sekolah menengah, iaitu membaca sebuah novel.
Lebih menarik, penulis mengambil masa kira-kira 12 jam untuk membaca kesemua 236 halaman novel berkenaan.
Tidak pasti sama ada gaya bahasa yang mudah diikuti, jalan cerita yang menarik atau barangkali hati yang sudah terpaut kepada Daiyan Trisha menjadi pendorong utama.
Namun, tempoh itu menunjukkan penulis berjaya kembali menikmati pengalaman membaca karya fiksyen.
Anom Suraya bukanlah sebuah karya baharu.
Novel yang pernah menjadi fenomena dalam kalangan pembaca remaja dan belia pada era 1990-an ini pertama kali diterbitkan oleh Creative Enterprise pada 1992.
Nama Dr. Samsiah Mohd Nor juga bukan asing dalam dunia penulisan tempatan.
Beliau mula aktif menulis sejak 1986 untuk majalah dan akhbar tempatan sebelum menghasilkan novel pertamanya, Sindora, yang diterbitkan oleh Creative Enterprise pada 1990.
Sepanjang pelibatannya, beliau menghasilkan pelbagai karya termasuk Bebunga Lalang, Kemboja Berguguran, Riana, Tangisan Bulan Madu, Selimut Malam, Anggerik Kota dan Maya Pusara.
Beralih kepada jalan cerita, novel ini mengisahkan Anom, seorang gadis kampung yang sederhana, yang menerima tawaran bekerja sebagai penjaga di kediaman Puan Raden di Kuala Lumpur demi mengubah nasib kehidupannya.
Di sana, Anom ditugaskan menjaga Badrol, anak Puan Raden yang mengalami gangguan mental yang dipercayai berpunca daripada perbuatan sihir.
Walaupun pada awalnya berasa takut, Anom berjaya mendekati Badrol dengan keikhlasan dan kesabarannya, termasuk menggunakan pendekatan muzik untuk menenangkan lelaki itu.
Bagaimanapun, apabila keadaan Badrol semakin pulih, hubungan Anom dengan abang Badrol, Bakhtiar, mula berkembang sehingga membawa kepada lamaran perkahwinan.
Keadaan menjadi semakin rumit apabila Badrol turut menyimpan perasaan terhadap Anom.
Perasaan cemburu,fitnah dan perebutan kasih akhirnya mencetuskan konflik yang menguji hubungan keduadua beradik itu.
Pada pandangan penulis, kekuatan penceritaan novel ini terletak pada perkembangan konflik yang tidak terlalu terburu-buru.
Hubungan antara watak dibina secara berperingkat, sekali gus memberikan ruang kepada pembaca untuk memahami situasi yang dihadapi Anom.
Kisahnya bukan sekadar berkisar tentang percintaan, tetapi turut menyentuh soal tanggungjawab, kepercayaan, kekeluargaan dan pengorbanan.
Dari sudut gaya penulisan, jalan ceritanya tidak terlalu mendayu-dayu atau sarat dengan ungkapan romantis yang berlebihan.
Sebaliknya, konflik yang diketengahkan cukup untuk membuatkan pembaca tertanyatanya tentang perkembangan cerita seterusnya.
Sebagai pembaca yang lahir pada pertengahan era 1990-an, penulis turut melihat karya ini sebagai peluang untuk mempelajari gaya dan teknik penceritaan Dr. Samsiah yang telah lama berkecimpung dalam dunia penulisan.
Menariknya, novel ini turut diadaptasi menjadi drama televisyen dengan Daiyan Trisha memegang watak Anom, Idris Khan sebagai Bakhtiar dan Yusuf Bahrin sebagai Badrol. Dr. Samsiah sendiri turut tampil sebagai Mak Uteh, ibu kepada Anom.
Adaptasi tersebut mempunyai perkembangan jalan cerita yang tersendiri, termasuk pengakhiran yang memperlihatkan Anom bertemu dengan seorang lelaki misteri di pantai.
Namun, babak berkenaan merupakan sebahagian daripada jalan cerita drama dan bukan pengakhiran yang boleh disandarkan kepada novel.
Bagi edisi 2026 terbitan Idea Kreatif Publication, pihak editorial turut mengambil inisiatif memperhalus beberapa aspek kandungan agar lebih bersesuaian dengan keadaan semasa, dengan persetujuan pengarang asal.
Justeru, terdapat sedikit perubahan berbanding dengan terbitan asal bagi menyesuaikan latar dan situasi cerita dengan perkembangan zaman.
Secara keseluruhannya, Anom Suraya memberikan pengalaman membaca yang cukup menyenangkan, khususnya buat seseorang yang sudah lama meninggalkan dunia novel.
Mungkin ada sebab tersendiri mengapa karya ini pernah mendapat tempat dalam kalangan pembaca pada era 1990-an.
Bagi penulis, pembelian yang pada mulanya didorong oleh sekeping wajah pada kulit buku akhirnya membangkitkan semula minat membaca.
Siapa sangka, sebuah novel yang diterbitkan lebih tiga dekad lalu mampu membuatkan seseorang yang jarang membaca karya fiksyen sanggup menghabiskan 236 halaman hanya dalam tempoh 12 jam.



