Tajuk buku: Laskar Pelangi
Penulis buku: Andrea Hirata
Penerbit: Jejak Tarbiah
Jumlah halaman: 270
Novel Laskar Pelangi karya Andrea Hirata mengisahkan kehidupan sepuluh kanak-kanak daripada keluarga miskin di Pulau Belitung, Indonesia.
Mereka menuntut ilmu di sebuah sekolah rendah yang serba kekurangan, iaitu Sekolah Dasar (SD) Muhammadiyah, di bawah bimbingan dua pendidik, iaitu Guru Mus dan Pak Harfan.
Walaupun berdepan dengan pelbagai kesukaran, khususnya kekurangan kemudahan pembelajaran dan kesempitan hidup, mereka tidak pernah berputus asa untuk menuntut ilmu.
Semangat, persahabatan dan impian menjadi asas kekuatan yang menyatukan mereka.
Kumpulan kanak-kanak itu kemudiannya dikenali sebagai Laskar Pelangi, iaitu nama yang melambangkan harapan, persahabatan dan keindahan impian meskipun kehidupan mereka dipenuhi kesulitan.
Novel ini mengandungi 28 bab yang sarat dengan pelbagai pengajaran, khususnya tentang kepentingan pendidikan dan ilmu pengetahuan dalam mengubah kehidupan seseorang.
Pada pandangan saya, novel ini bukan sekadar menceritakan kehidupan sekumpulan kanakkanak yang ingin mendapatkan pendidikan, malah membantu pembaca memahami realiti kehidupan masyarakat kurang berkemampuan bagi mendapatkan peluang yang lebih baik.
Melalui penceritaan ini, kita dapat melihat latar belakang keluarga dan keadaan ekonomi bukanlah penentu kejayaan seseorang.
Sebaliknya, semangat, usaha dan kesungguhan memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan.
Kepentingan pendidikan, ilmu
Melalui novel ini, kita dapat melihat sekumpulan kanakkanak tersebut mempunyai minat yang tinggi terhadap ilmu pengetahuan.
Walaupun kehidupan mereka serba kekurangan, keadaan itu tidak pernah memadamkan keinginan mereka untuk terus belajar.
Sejak awal penceritaan, novel ini memperlihatkan keazaman mereka untuk mengubah nasib melalui usaha menuntut ilmu.
Mereka menyedari pendidikan merupakan salah satu jalan untuk membuka peluang ke arah masa depan yang lebih cerah.
Mereka juga tidak menjadikan kekurangan kemudahan di sekolah sebagai alasan untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar.
Sebaliknya, mereka memanfaatkan setiap peluang yang ada dengan sebaikbaiknya untuk memperoleh pengetahuan.
Kisah ini mengingatkan kita supaya tidak menjadikan kesusahan hidup sebagai alasan untuk mengabaikan kepentingan menuntut ilmu.
Setiap peluang untuk belajar seharusnya dihargai kerana ilmu merupakan bekalan penting untuk menghadapi cabaran kehidupan.
Selain itu, novel ini turut mengingatkan kita pendidikan bukan sekadar bertujuan mendapatkan pekerjaan atau mengejar kejayaan dalam kehidupan, malah membantu seseorang membentuk pemikiran, keperibadian dan keyakinan diri.
Pengorbanan, keikhlasan guru
Selain kepentingan pendidikan, novel ini turut mengetengahkan pengorbanan guru melalui watak Guru Mus dan Pak Harfan yang menggambarkan pendidik yang ikhlas serta berdedikasi tinggi dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
Walaupun terpaksa mengajar di sekolah yang serba kekurangan, mereka tetap berusaha memberikan pendidikan yang terbaik kepada murid.
Kekurangan kemudahan tidak pernah dijadikan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai pendidik.
Kesungguhan mereka bukan sahaja membantu murid memperoleh ilmu pengetahuan, malah turut menyemai keyakinan dan semangat untuk mengejar cita-cita.
Mereka sentiasa memberikan dorongan supaya anak didik tidak mudah berputus asa meskipun berhadapan dengan pelbagai kesukaran.
Pada pandangan saya, watak Guru Mus memberikan gambaran bahawa tugas seorang guru bukan sekadar menyampaikan ilmu di dalam bilik darjah. Seorang guru juga memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian, memberikan motivasi dan membantu murid mengenali potensi diri.
Pengorbanan mereka perlulah sentiasa dihargai kerana mereka sanggup mencurahkan tenaga dan masa demi memastikan anak didik mendapat peluang untuk membina masa depan yang lebih baik.
Kisah ini turut menyedarkan kita keikhlasan seorang pendidik mampu membawa perubahan besar dalam kehidupan seseorang.
Kadangkala, kata-kata semangat dan kepercayaan yang diberikan oleh seorang guru sudah cukup untuk membangkitkan keyakinan seseorang murid.
Kemiskinan bukan penghalang kejayaan
Selain itu, perkara menarik yang turut diketengahkan dalam novel ini ialah hakikat bahawa kekurangan wang dan kemudahan bukanlah alasan untuk seseorang berhenti mengejar cita-cita.
Saya percaya bahagian ini berjaya membuka mata pembaca supaya terus berusaha walaupun berhadapan dengan masalah kewangan dan kesusahan hidup.
Hal ini dapat dilihat melalui kehidupan sepuluh kanak-kanak tersebut yang kebanyakannya berasal daripada keluarga kurang berkemampuan.
Namun, mereka tidak membiarkan keadaan itu mematahkan semangat untuk mendapatkan pendidikan dan membina masa depan yang lebih cerah.
Antara watak paling jelas memperlihatkan perkara ini ialah Lintang, memiliki kebijaksanaan luar biasa dalam pelajaran.
Walaupun berasal daripada keluarga nelayan dan terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk ke sekolah, dia tetap menunjukkan kesungguhan yang tinggi dalam menuntut ilmu.
Pengalaman Lintang memberikan gambaran bahawa seseorang tidak seharusnya mengukur kemampuan diri berdasarkan keadaan keluarga atau kedudukan ekonomi.
Sebaliknya, setiap individu berpeluang mengembangkan kebolehan masing-masing melalui usaha dan kesungguhan.
Kisah ini mengajar kita supaya tidak mudah mengalah apabila berhadapan dengan masalah kewangan atau kekurangan kemudahan.
Kesusahan yang dialami seharusnya dijadikan dorongan untuk berusaha dengan lebih gigih demi mencapai kehidupan yang diimpikan.
Erti persahabatan, semangat setiakawan
Perkara yang paling menarik dalam novel ini ialah pengertian persahabatan yang digambarkan melalui hubungan erat antara sepuluh sahabat tersebut.
Kisah mereka memperlihatkan kepentingan sokongan, kepercayaan dan semangat setiakawan dalam kehidupan.
Mereka sentiasa bersama-sama mengharungi pelbagai cabaran, berkongsi kegembiraan serta saling membantu ketika menghadapi kesukaran.
Hubungan mereka bukan sekadar hubungan antara rakan sekelas, malah menjadi sumber kekuatan antara satu sama lain.
Perbezaan personaliti, latar belakang dan kebolehan masing-masing tidak menghalang mereka daripada membina persahabatan yang erat.
Sebaliknya, keistimewaan yang dimiliki oleh setiap individu menjadikan kumpulan tersebut lebih istimewa.
Saya berpendapat persahabatan yang digambarkan dalam novel ini memberikan pengajaran bahawa kita tidak semestinya perlu memiliki banyak persamaan untuk membina hubungan yang baik.
Pada masa sama, saya juga tertarik dengan cara penulis menggambarkan keadaan sekolah dan kehidupan masyarakat di Pulau Belitung.
Gambaran tersebut membolehkan pembaca memahami cabaran yang terpaksa dihadapi oleh kanakkanak daripada keluarga kurang berkemampuan.
Justeru, Laskar Pelangi bukan sahaja menarik untuk dibaca, malah sarat dengan nilai kemanusiaan, semangat perjuangan dan pengajaran kehidupan.






