ARTIKEL

Dari Sebauh menuju pentas dunia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Berbekalkan impian besar dan semangat luar biasa, seorang kanak-kanak perempuan dari rumah panjang di pedalaman Sebauh membuktikan asal usul serta latar belakang keluarga bukanlah penghalang untuk melangkah jauh dalam mengejar cita-cita.

Lebih istimewa, insan yang selama ini menjadi idolanya kini merupakan mentor yang membimbing langkah awalnya dalam dunia peragaan.

Bagi Arabella Alesha Sinba Jamal, 8, yang mesra disapa Bella, Kimi Tomas bukan sekadar gura yang dikagumi, malah menjadi inspirasi untuk membina keyakinan, keberanian dan kesungguhan dalam mengembangkan bakat.

Kekaguman terhadap Kimi menyemai hasrat dalam diri anak jati Iban itu untuk membesar sebagai wanita yang yakin, cekal dan berani merealisasikan impian, sekali gus mampu menjadi inspirasi kepada orang lain.

Peluang menerima bimbingan daripada idolanya membawa makna tersendiri buat Bella yang terpilih sebagai Mini Miss Divine Malaysia 2026, sekali gus membuka ruang untuk mewakili Borneo dan Malaysia di pentas antarabangsa.

Berasal dari Rumah Saging, Sungai Ensaie, Sebauh, Bintulu, Bella bukan sahaja menyimpan impian untuk mengembangkan bakat dalam bidang peragaan, malah berhasrat memperkenalkan keunikan warisan budaya masyarakat Iban kepada khalayak yang lebih luas.

Murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung San Sebauh itu mula menunjukkan minat terhadap dunia peragaan sejak 2023.

Minat tersebut terus berkembang apabila dia berpeluang mendapatkan bimbingan daripada Kimi yang menjadi sumber inspirasinya.

Menurut Kimi, antara perkara yang paling menyentuh hatinya ialah kesungguhan Bella untuk menimba ilmu dan mengembangkan bakat meskipun perlu menempuh perjalanan jauh dari Sebauh ke Kuching.

Katanya, latar belakang keluarga Bella yang hidup sederhana tidak pernah mematahkan semangat kanakkanak itu untuk mendapatkan peluang mengikuti kelas peragaan.

“Walaupun hidup sederhana, Bella sanggup mengumpul wang selama setahun semata-mata untuk datang ke Kuching dan mengikuti kelas peragaan bersama-sama saya.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya mempunyai anak didik yang menunjukkan kesungguhan seperti Bella.

Pengorbanan dan semangatnya untuk mengejar impian benar-benar memberikan kesan kepada saya,” katanya kepada Suara Sarawak.

Menurutnya, perjalanan dari Sebauh ke Kuching memerlukan perancangan serta komitmen keluarga, namun Bella tetap mengekalkan minat dan kesungguhannya sementara menantikan peluang untuk mendapatkan bimbingan.

Bagi Kimi, keistimewaan Bella bukan hanya terletak pada minatnya terhadap dunia peragaan, malah turut terserlah melalui kesediaannya menerima tunjuk ajar, keberanian mencuba perkara baharu dan kesungguhan untuk memperbaik diri.

Peluang dibimbing oleh Kimi kini menjadi bekalan penting buat Bella untuk mempelajari teknik peragaan, membina disiplin serta meningkatkan keyakinan ketika berhadapan dengan orang ramai.

Dengan sokongan keluarga dan bimbingan mentornya, Bella meneruskan persiapan secara berperingkat melalui latihan peragaan, komunikasi dan pembentukan keyakinan diri mengikut kesesuaian usianya.

Bagi mengembangkan bakat, identiti Bella sebagai anak Iban turut menjadi keistimewaan yang ingin diketengahkan.

Dia berhasrat memperkenalkan keindahan busana tradisional, seni serta keunikan warisan masyarakat Iban melalui penampilannya di pentas peragaan.

Baginya, pentas tersebut bukan sekadar ruang untuk memperlihatkan kebolehan diri, malah peluang untuk berkongsi cerita tentang tempat asal dan budaya yang membentuk identitinya.

Selain berbakat dalam bidang peragaan, Bella juga mahir bertutur dalam bahasa Mandarin dan berkebolehan menyanyikan lagu dalam bahasa berkenaan, sekali gus memperlihatkan keupayaannya mengembangkan bakat dalam persekitaran pelbagai budaya.

Kimi berharap Bella terus membina keyakinan, menghargai setiap pengalaman dan mengekalkan kesungguhan untuk belajar sepanjang mengembangkan potensinya.

Beliau turut berharap kecekalan anak didiknya itu dapat menyuntik semangat kepada lebih ramai anak Sarawak untuk mengejar cita-cita tanpa menjadikan latar belakang kehidupan sebagai batasan.

Perjalanan Bella dalam bidang peragaan masih panjang, namun peluang belajar daripada insan yang selama ini menjadi idolanya memberikan dorongan bermakna untuk terus melangkah.

Dari sebuah rumah panjang di Sebauh, Bella kini membawa impian yang lebih besar, iaitu untuk suatu hari nanti berdiri dengan penuh keyakinan di pentas antarabangsa, mengharumkan nama Borneo dan Malaysia serta memperkenalkan keindahan warisan Iban kepada dunia.

BERITA LAIN

Tiga dekad tabur bakti di Bumi Kenyalang

Bagi sesetengah guru dari Semenanjung, penempatan di Sarawak, khususnya di kawasan pedalaman, mungkin dianggap sebagai satu cabaran besar. Malah, ada yang melihatnya sebagai titik terendah

BERITA TERBARU

LASKAR PELANGI angkat erti kehidupan

Tajuk buku: Laskar Pelangi Penulis buku: Andrea Hirata Penerbit: Jejak Tarbiah Jumlah halaman: 270 Novel Laskar Pelangi karya Andrea Hirata mengisahkan kehidupan sepuluh kanak-kanak daripada

Tiga dekad tabur bakti di Bumi Kenyalang

Bagi sesetengah guru dari Semenanjung, penempatan di Sarawak, khususnya di kawasan pedalaman, mungkin dianggap sebagai satu cabaran besar. Malah, ada yang melihatnya sebagai titik terendah