Bagi sesetengah guru dari Semenanjung, penempatan di Sarawak, khususnya di kawasan pedalaman, mungkin dianggap sebagai satu cabaran besar.
Malah, ada yang melihatnya sebagai titik terendah dalam perjalanan kerjaya mereka.
Namun, tanggapan itu jauh berbeza bagi Ahmad Faizal Osman, 57, yang lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Emmet.
Baginya, Sarawak bukanlah tempat yang membataskan kehidupannya, sebaliknya negeri yang membentuk jati dirinya seperti hari ini.
Selepas lebih tiga dekad berkhidmat dalam bidang pendidikan di Sarawak, anak kelahiran Teluk Intan, Perak itu mengakui pengalaman yang dilaluinya jauh melangkaui tanggungjawab sebagai seorang pendidik.
Malah, beliau menyifatkan penghijrahannya ke Bumi Kenyalang sebagai suatu perjalanan hidup yang mengajarnya tentang kesabaran, persaudaraan, kepelbagaian budaya dan erti sebuah komuniti.
“Saya datang dari Perak. Saya ditempatkan di Sarawak.
Tetapi di sinilah saya membina pengalaman, membina kerjaya, mengenali masyarakat, membentuk diri dan akhirnya menjadi siapa saya hari ini.
“Sarawak bukan titik terendah bagi saya.
Kalau Sarawak dianggap titik terendah, saya ialah contoh bahawa tempat yang dianggap rendah itu sebenarnya boleh menjadi titik yang mengubah seluruh kehidupan seseorang hingga ke tahap yang lebih tinggi,” katanya kepada Suara Sarawak.
Kini, beliau menggalas tanggungjawab sebagai guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Pakit, Sri Aman, selepas berkhidmat di beberapa sekolah sepanjang kerjayanya.
Cikgu Emmet mendapat pendidikan di Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI), Tanjung Malim, sebelum melanjutkan pengajian di Open University Malaysia (OUM).
Selepas menamatkan pengajian di IPSI pada 1995, beliau mengambil keputusan untuk datang ke Sarawak bagi memulakan perkhidmatan sebagai guru.
Ketika itu, beliau masih muda dan datang sebagai seorang guru dari Semenanjung yang belum mempunyai gambaran sebenar mengenai kehidupan di negeri ini.
Penempatan pertamanya ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Lichok, Roban, sebelum meneruskan perkhidmatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saratok, SMK Sungai Kruit di Perak, SK Melugu dan SK Pulau Seduku, sehinggalah kini di SK Kem Pakit.
“Ketika datang ke Sarawak, saya tidak pernah terbayang bahawa negeri ini akhirnya akan menjadi sebahagian besar daripada kehidupan saya. “Sarawak terasa sangat jauh dari Teluk Intan.
Saya juga masih muda dan belum tahu apa yang menunggu saya di sini,” katanya.
Menurut beliau, antara kebimbangan utama guru baharu dari Semenanjung yang menerima penempatan di Sarawak ialah terpaksa berjauhan daripada keluarga, selain membayangkan kesukaran menjalani kehidupan di kawasan pedalaman.
Ada yang bimbang menghadapi keterbatasan kemudahan asas seperti bekalan air bersih dan capaian Internet, manakala sebahagian lagi khuatir tentang pengangkutan air, bahasa serta dialek tempatan dan kemungkinan perlu hidup bersendirian.
Malah, kekurangan pengetahuan tentang masyarakat dan budaya tempatan turut menyebabkan sesetengah guru membentuk persepsi berdasarkan cerita orang lain dan bahan bacaan semata-mata.
Bagaimanapun, Cikgu Emmet memahami perasaan tersebut kerana beliau sendiri pernah melalui fasa menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.
Katanya, ketakutan terhadap sesuatu yang tidak dikenali merupakan perkara biasa, tetapi seseorang tidak seharusnya membiarkan persepsi menghalang peluang untuk mengenali tempat yang bakal menjadi sebahagian daripada kehidupannya.
“Saya faham kenapa mereka berasa begitu.
Kita takut kepada sesuatu yang kita tidak kenal.
“Sarawak bagi sesetengah guru baharu hanya digambarkan sebagai tempat yang jauh di pedalaman, penuh kesusahan dan terpisah daripada keluarga.
“Tetapi pada pandangan saya, masalahnya bukan Sarawak.
Masalahnya ialah persepsi kita sebelum mengenali Sarawak kerana selama ini kita hanya mendengar cerita orang dan membaca mengenainya,” jelasnya.
Bagi beliau, kunci utama untuk menyesuaikan diri ialah kesediaan untuk merendahkan ego, menghormati masyarakat setempat dan belajar menerima perbezaan.
Beliau turut berpegang pada prinsip supaya tidak berasa terlalu selesa dengan kebiasaan sendiri apabila berada di tempat orang lain.
“Saya belajar satu perkara.
Jangan eksyen (meninggi diri) di tempat kita berada. Belajarlah mengenali tempat itu.
“Saya mula mengenali masyarakat, budaya, rakan rakan guru dan murid. Sedikit demi sedikit, rasa asing itu hilang,” katanya.
Sepanjang berkhidmat di beberapa sekolah, beliau menyaksikan sendiri realiti pendidikan di kawasan pedalaman yang mempunyai cabaran tersendiri.
Namun, semakin lama beliau menetap di Sarawak, semakin banyak perkara positif yang ditemuinya, khususnya keramahan masyarakat dan semangat anak-anak tempatan untuk mendapatkan pendidikan.
Katanya, pada peringkat awal, seseorang mungkin lebih mudah melihat perbezaan dan kekurangan kemudahan berbanding keistimewaan yang ada.
Bagaimanapun, perspektif itu berubah apabila seseorang mula mengenali kehidupan masyarakat dan memahami harapan mereka terhadap pendidikan.
“Pada awalnya saya nampak ada perbezaan ketara.
Kemudian saya nampak keramahan.
“Kita bukan lagi hanya melihat kekurangan, tetapi mula nampak semangat murid untuk belajar.
“Kita nampak sekolah yang daif, tetapi kita juga nampak murid yang sangat mengharapkan seorang guru untuk mendidik mereka,” katanya.
Antara pengalaman paling bermakna sepanjang beliau berada di Sarawak ialah peluang untuk mengenali masyarakat berbilang kaum yang hidup dalam suasana harmoni.
Beliau menyifatkan keharmonian dalam kepelbagaian sebagai antara keistimewaan terbesar negeri ini yang wajar dihargai.
Masyarakat Iban, Melayu, Cina, Bidayuh, Melanau, Orang Ulu dan pelbagai komuniti lain memperlihatkan bahawa perbezaan agama, bahasa, budaya serta adat tidak semestinya menjadi penghalang untuk hidup bersama.
“Bagi saya, Sarawak mengajar bahawa perbezaan bukan alasan untuk kita berpecah. Kita boleh berbeza agama, bahasa, budaya dan adat, tetapi masih boleh hidup sebagai sebuah keluarga.
“Bagi seorang guru, pengalaman ini sangat bernilai kerana kita bukan sekadar mengajar anak-anak Sarawak, sebaliknya kita juga belajar daripada mereka,” ujarnya.
Malah, pengalaman bergaul dengan masyarakat tempatan turut menghadirkan kenangan lucu yang masih diingatinya sehingga kini.
Beliau berkongsi satu kejadian apabila seorang murid Iban pernah memintanya membawa ayam ke sekolah.
Pada mulanya, beliau menyangka murid berkenaan meminta ayam untuk dimakan, mungkin ayam goreng, tetapi rupa-rupanya permintaan itu merujuk kepada permainan tradisional yang dikenali sebagai utai kayam.
“Memang banyak pengalaman manis.
Antaranya apabila ada murid Iban meminta saya membawa ayam.
“Saya ingatkan ayam goreng, rupanya permainan.
Itulah antara pengalaman yang membuatkan saya lebih mengenali budaya dan kehidupan masyarakat di sini,” katanya ketika mengenang kejadian tersebut.
Walaupun mengakui kehidupan di pedalaman mempunyai cabaran dari segi jarak, kemudahan asas dan sistem perhubungan, beliau tidak bersetuju sekiranya Sarawak terus dilabel sebagai tempat yang serba kekurangan atau tidak sesuai untuk membina masa depan.
Menurutnya, masyarakat perlu membezakan antara cabaran sebenar dengan ketakutan yang terbentuk daripada imaginasi.
“Kawasan pedalaman memang jauh dan ada tempat yang kemudahannya tidak sama seperti di bandar.
Tetapi cabaran itu tidak bermaksud kehidupan di Sarawak adalah buruk.
“Kita perlu bezakan antara cabaran dengan ketakutan.
Cabaran itu realiti, tetapi ketakutan pula kadang-kadang datang daripada imaginasi,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menasihati guru yang bakal menerima penempatan di Sarawak supaya mempunyai pemikiran yang terbuka, ketahanan emosi serta kesediaan untuk keluar daripada zon selesa.
Mereka juga perlu mempelajari budaya dan cara hidup masyarakat tempatan, meningkatkan kemahiran komunikasi serta tidak malu untuk bertanya dan mempelajari bahasa atau dialek yang digunakan oleh penduduk setempat.
Mengimbas perjalanan kerjayanya, Cikgu Emmet menyifatkan pencapaian terbesar seorang pendidik bukan semata-mata terletak pada jawatan atau pengiktirafan yang diterima, tetapi juga pada kesan ilmu dan nilai yang berjaya ditanam dalam diri murid.
“Pencapaian terbesar seorang guru ialah apabila ilmu dan nilai yang kita tanam terus hidup dalam diri murid walaupun kita sudah tidak berada di hadapan mereka.
“Itulah kepuasan sebenar seorang pendidik,” katanya.
Bagaimanapun, sumbangan beliau dalam bidang pendidikan turut mendapat pengiktirafan apabila menerima Anugerah Pencapaian Cemerlang sebanyak dua kali, iaitu pada 2016 dan 2022.
Beliau turut menerima Anugerah Khas Premier Sarawak bagi kategori Pempengaruh pada Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.
Di sebalik segala pengiktirafan itu, beliau berharap pengalaman dan perjalanan hidupnya dapat menjadi inspirasi kepada anak-anak Sarawak, khususnya mereka yang membesar di kawasan pedalaman.
Katanya, tempat seseorang dilahirkan tidak seharusnya menjadi ukuran kemampuan mereka untuk mencapai citacita.
Beliau mahu anak-anak Sarawak yakin bahawa mereka juga mampu menjadi doktor, jurutera, guru, pemimpin, usahawan, saintis atau menceburi apa-apa sahaja bidang yang diimpikan.
“Anak-anak di pedalaman juga mempunyai peluang untuk berjaya.
Jangan sesekali menganggap tempat kita dilahirkan menentukan sejauh mana kita boleh pergi.
“Yang penting ialah peluang mendapatkan pendidikan, kesungguhan untuk belajar dan keberanian mengejar impian,” katanya.
Selepas lebih 30 tahun menjadikan Sarawak sebagai tempat berkhidmat dan membina kehidupan, Cikgu Emmet melihat negeri ini bukan lagi sekadar tempat beliau menerima penempatan kerja, tetapi sebuah rumah yang menyimpan pelbagai kenangan serta pengalaman berharga.
Pesanannya kepada guru dari Semenanjung yang bakal memulakan perjalanan di Bumi Kenyalang cukup sederhana, namun membawa makna yang besar.
“Beri Sarawak peluang untuk mengenali anda, dan beri diri anda peluang untuk mengenali Sarawak.”
Bagi Cikgu Emmet, perjalanan sebagai seorang guru bukan sekadar tentang mengajar dan menyampaikan ilmu, tetapi turut menuntut kesediaan untuk belajar daripada kehidupan, masyarakat dan pengalaman yang ditemui sepanjang perjalanan.





