ARTIKEL

Bangunan Saujana tinggal kenangan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Ketika bersiar-siar di sekitar Jalan Masjid, pandangan pasti tertumpu pada sebuah bangunan tempat letak kereta bertingkat yang semakin dimamah usia, namun masih teguh berdiri di tengahtengah perubahan landskap bandar raya Kuching, iaitu Bangunan Saujana.

Di sebalik keadaan fizikalnya yang semakin usang, bangunan itu menyimpan seribu satu kisah kehidupan, menjadi saksi pertemuan, persahabatan dan rutin harian masyarakat yang pernah menjadikannya sebahagian daripada perjalanan hidup mereka.

Suatu ketika dahulu, Bangunan Saujana bukan sekadar tempat meletakkan kenderaan, sebaliknya menjadi antara lokasi tumpuan warga Kuching untuk menunggu bas, membeli-belah dan menikmati pelbagai juadah di medan selera yang terletak di tingkat paling atas.

Suasana yang dahulunya meriah dengan kehadiran pengunjung kini semakin sukar ditemukan, seiring dengan perubahan corak kehidupan masyarakat serta pembangunan pesat yang mengubah wajah bandar raya ini.

Bagi generasi hari ini, Bangunan Saujana mungkin hanya sebuah struktur lama yang bakal memberikan laluan kepada pembangunan baharu.

Namun, bagi mereka yang pernah menghabiskan masa di situ, bangunan ini mempunyai nilai sentimental yang tidak mungkin dapat digantikan begitu sahaja.

Sebelum kemunculan pusat beli-belah moden seperti Vivacity Megamall, Bangunan Saujana pernah menjadi antara destinasi pilihan warga Kuching untuk membeli-belah dan meluangkan masa bersamasama keluarga mahupun rakan-rakan.

Kedudukannya yang strategik turut menjadikan bangunan itu sebagai tempat pertemuan masyarakat, khususnya pengguna perkhidmatan bas yang menjadikannya lokasi persinggahan sebelum meneruskan perjalanan ke pusat bandar atau kawasan lain.

Selain menyediakan kemudahan tempat letak kereta empat tingkat, bangunan itu turut menempatkan beberapa premis komersial kecil di bahagian bawah yang menjual buah-buahan dan makanan ringan, serta sebuah stesen bas lama.

Tidak ketinggalan, Taman Selera Saujana di tingkat paling atas pernah menjadi antara tarikan utama dengan pelbagai pilihan hidangan tempatan, termasuk mi jawa yang menjadi kegemaran pengunjung.

Medan selera itu bukan sekadar tempat menjamu selera, malah menjadi ruang untuk masyarakat berkumpul, bertukar-tukar cerita dan meluangkan masa bersamasama insan tersayang.

Walaupun penulis tidak berkesempatan merasai sendiri kemeriahan Bangunan Saujana pada zaman kegemilangannya, perkongsian penduduk setempat yang pernah melalui pengalaman itu cukup menggambarkan betapa pentingnya lokasi berkenaan dalam kehidupan warga Kuching suatu ketika dahulu.

Bagi Faraciano Jehong, Bangunan Saujana merupakan antara lokasi yang cukup dekat dengan kenangan zaman remajanya, khususnya ketika masih bersekolah dari 1993 hingga 1995.

Menurutnya, kawasan itu menjadi tempat pertemuan rakan-rakan dari pelbagai kawasan sebelum mereka menikmati makanan di medan selera tingkat atas dan meneruskan aktiviti hujung minggu di Tebingan Kuching.

“Dulu memang tempat tumpuan ketika zaman remaja.

Kami biasanya menaiki bas, berkumpul di situ, makan di tingkat atas sebelum pergi ke Tebingan Kuching.

“Memang banyak kenangan di situ, terutama ketika keluar makan bersama kawan-kawan.

Tempat itu juga menjadi lokasi pertemuan rakan dari pelbagai kawasan,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.

Tambahnya, banyak kenangan manis tercipta di Bangunan Saujana, terutama ketika beliau masih di bangku sekolah, menyebabkan berita mengenai perobohan bangunan itu sukar diterimanya.

“Saya sangat sedih ketika mendengar berita bahawa bangunan ini bakal dirobohkan kerana menyimpan begitu banyak memori yang sukar digantikan.

“Pun begitu, saya percaya pembangunan semula kawasan ini merupakan satu keperluan bagi memastikan bandar raya Kuching terus berkembang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap sebahagian struktur lama bangunan berkenaan dapat dikekalkan sebagai kenangan terhadap sejarahnya, sekali gus memberikan peluang kepada generasi akan datang untuk mengenali kepentingan lokasi tersebut.

“Memang sangat sedih kerana bangunan itu mengimbau kenangan silam.

Tetapi kalau untuk pembangunan, memang satu keperluan.

“Kalau boleh, ada sebahagian struktur yang dikekalkan supaya generasi akan datang masih dapat melihat dan mengenali sejarah kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Charles Ramli berkata, Bangunan Saujana cukup sinonim dengan pengalamannya sebagai pengguna pengangkutan awam yang pernah menjadikan kawasan itu sebagai tempat persinggahan.

“Kawasan ini pernah menjadi tempat menunggu bas dan saya sendiri menyaksikan perubahan suasana Bangunan Saujana yang suatu ketika dahulu sentiasa dikunjungi orang ramai, berbanding keadaannya kini yang semakin lengang,” katanya.

Berkongsi lebih lanjut, beliau yang juga penjaga stesen bas berkata, perubahan corak penggunaan pengangkutan serta pembangunan kemudahan bandar menjadi antara faktor yang menyebabkan kawasan itu tidak lagi dikunjungi seramai dahulu.

Walaupun menyimpan pelbagai kenangan di kawasan berkenaan, beliau berpendapat bahawa pembangunan semula tetap diperlukan bagi memastikan kawasan itu terus relevan dengan keperluan semasa.

“Memang sayang kerana banyak kenangan di situ, tetapi bagi kami, untuk pembangunan memang kami sokong.

“Sudah tiba masanya untuk perubahan.

Kami mahu melihat kemajuan bandar dan kalau pembangunan itu dapat menjadikan kawasan ini lebih baik, memang bagus,” katanya.

Bagaimanapun, Charles berharap pembangunan semula itu turut mengambil kira keperluan pengguna pengangkutan awam, khususnya dengan menyediakan kemudahan menunggu bas yang lebih selesa dan teratur.

Menurutnya, kemudahan sedemikian amat penting bagi memastikan masyarakat yang masih bergantung pada perkhidmatan bas terus menikmati keselesaan meskipun kawasan berkenaan mengalami perubahan.

Sementara itu, Ana Ibrahim berkata, Bangunan Saujana bukan sekadar tempat bekerja, malah menjadi saksi perjalanan hidupnya mencari rezeki selama lebih 20 tahun sebagai pekerja pembersihan di situ.

Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai pengalaman yang dilaluinya termasuk rutin singgah ke medan selera pada waktu rehat untuk menikmati hidangan yang ditawarkan pada harga berpatutan.

“Sepanjang saya bekerja di sini, banyak kenangan manis yang saya alami, terutama ketika ingin makan tengah hari ketika berehat.

“Saya pasti akan singgah ke medan selera untuk membeli makanan kerana harganya murah dan juga banyak pilihan,” katanya.

Namun, kemeriahan yang pernah mewarnai Taman Selera Saujana kini hanya tinggal kenangan apabila jumlah pengunjung semakin berkurangan, manakala banyak gerai makanan terpaksa menghentikan operasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutama selepas pandemik COVID-19.

Menurutnya, perubahan itu amat dirasai apabila satu demi satu gerai makanan ditutup sehingga akhirnya medan selera berkenaan tidak lagi beroperasi.

“Setelah pandemik COVID-19, banyak perubahan drastik berlaku apabila banyak gerai makanan terpaksa ditutup sehingga akhirnya medan selera itu tutup sepenuhnya sejak beberapa tahun lepas.

“Oleh itu, saya rindu ketika Bangunan Saujana sentiasa dikerumuni pengunjung dari jauh dan dekat hanya untuk menikmati juadah di medan selera,” tambahnya.

Berkongsi pandangan mengenai pembangunan semula kawasan itu, Ana berharap bangunan lama yang mempunyai nilai sejarah tidak semestinya dirobohkan sepenuhnya, sebaliknya boleh diperindah dan dikekalkan sebagai sebahagian daripada identiti bandar raya Kuching.

Baginya, usaha memelihara bangunan bersejarah penting supaya kisah dan nilai di sebalik struktur lama tidak hilang begitu sahaja apabila bandar terus mengalami perubahan.

“Sekiranya boleh, bangunan yang mempunyai nilai sejarah dipercantikkan semula agar menjadi kenangan kepada generasi akan datang.

“Ini kerana bangunanbangunan lama di Kuching ini telah diubah, membuat banyak kisah lama tidak lagi diketahui,” katanya.

Bagi penulis sendiri, Bangunan Saujana turut mempunyai nilai tersendiri meskipun tidak berpeluang merasai pengalaman ketika bangunan itu berada di puncak kemeriahannya.

Kedudukannya yang strategik menjadikan bangunan itu antara lokasi pilihan penulis untuk mendapatkan tempat letak kereta yang mudah dan selamat setiap kali menjalankan tugasan liputan di sekitar Tebingan Kuching, khususnya apabila berlangsungnya acara besar yang menarik kehadiran orang ramai.

Kemudahan yang mungkin dianggap biasa oleh sesetengah pihak itu sebenarnya cukup bermakna, terutama bagi mereka yang kerap berurusan di kawasan pusat bandar.

Justeru, membayangkan kawasan itu tanpa Bangunan Saujana pastinya menimbulkan rasa janggal, apatah lagi apabila memikirkan sebuah lokasi yang selama ini menjadi sebahagian daripada landskap bandar raya Kuching bakal berubah wajah.

Walaupun pengalaman mereka berbeza, semuanya berkongsi satu persamaan, iaitu Bangunan Saujana pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup masingmasing.

Bangunan itu bakal dirobohkan bagi memberikan laluan kepada pembangunan semula kawasan Jalan Masjid, termasuk pembinaan stesen pusat Transit Aliran Autonomi (ART).

Terdahulu, ketika merasmikan bangunan tambahan Gurdwara Sahib Kuching di Jalan Masjid,baru-baru ini, Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan, pembangunan bercirikan reka bentuk moden akan dilaksanakan di kawasan sekitar Jalan Masjid hingga ke Brooke Dockyard.

Stesen ART akan dibangunkan di hadapan Gurdwara Sahib Kuching, manakala pembangunan semula kawasan ini merupakan sebahagian daripada usaha mengubah landskap bandar raya Kuching agar seiring dengan perkembangan semasa tanpa mengabaikan nilai sejarah kawasan itu.

Sememangnya, bandar raya yang terus berkembang memerlukan kemudahan dan perancangan baharu bagi memenuhi keperluan masyarakat masa kini.

Namun, dalam setiap perubahan yang dirancang, sejarah dan identiti sesebuah kawasan tidak seharusnya diketepikan.

Bangunan Saujana mungkin suatu hari nanti hanya tinggal dalam gambar, rakaman dan cerita mereka yang pernah mengenalinya.

Namun, kisah yang terukir di sebalik bangunan itu akan terus hidup selagi ada insan yang sudi mengingatinya dan berkongsi pengalaman dengan generasi seterusnya.

Pada akhirnya, nilai sesebuah tempat bukan sekadar terletak pada bangunan yang berdiri di atasnya, tetapi juga pada manusia, pengalaman dan kenangan yang pernah menghidupkannya.

BERITA LAIN

Kerjasama erat pacu pembangunan bandar

Kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan agensi perancangan dan pihak berkepentingan penting bagi memastikan pembangunan bandar dilaksanakan secara bersepadu, mampan serta berperspektif kesejahteraan

DBKU raih pengiktirafan bandar pintar

DEWAN Bandaraya Kuching Utara (DBKU) melakar sejarah apabila menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Sarawak menerima Anugerah Penarafan Bandar Pintar Tahap 2 bagi tahun

BERITA TERBARU