DEWAN Bandaraya Kuching Utara (DBKU) melakar sejarah apabila menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Sarawak menerima Anugerah Penarafan Bandar Pintar Tahap 2 bagi tahun ini.
Pencapaian itu sekali gus menyaksikan peningkatan penarafan DBKU daripada tahap satu yang diperoleh pada 2023, mencerminkan kemajuan dalam pelaksanaan inisiatif bandar pintar di Kuching Utara.
Pengiktirafan berkenaan disampaikan sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2026 serta Peluncuran Rancangan Fizikal Negara Kelima (RFN5) dan Dasar Perbandaran Negara Ketiga (DPN3) di Dewan Sivik Petaling Jaya.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman, menerima anugerah berkenaan daripada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu.
Peningkatan penarafan itu mencerminkan komitmen berterusan DBKU memperkukuh pembangunan bandar pintar menerusi penggunaan teknologi dan inovasi.
Usaha tersebut memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan pengurusan bandar serta mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Sebagai PBT pertama di Sarawak yang mencapai penarafan berkenaan, DBKU akan terus memperluas pelaksanaan inisiatif bandar pintar berteraskan keperluan rakyat.
Pelaksanaan itu turut memberikan penekanan kepada penyelesaian yang dapat membawa manfaat langsung kepada kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat.
Pencapaian tersebut juga menjadi pemangkin kepada usaha DBKU membangunkan Kuching sebagai bandar raya pintar yang mampan, berdaya tahan dan inklusif, seiring dengan aspirasi pembangunan Sarawak.





