ARTIKEL

Satu kisah, empat pelajaran

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BUKU Biografi Sasterawan Negara Abdullah Hussain: Tukang Cerita Bergelar Pujangga menghimpunkan hidup, fikiran dan sumbangan seorang Sasterawan Negara dalam satu naratif yang sangat tersusun.

Siapakah lelaki di sebalik novel-novel yang kita baca? Apakah pengalaman yang membentuk persoalan, watak dan pandangan dalam karyanya? Soalan-soalan inilah yang cuba dijawab dalam Biografi Sasterawan Negara Abdullah Hussain: Tukang Cerita Bergelar Pujangga yang ditulis oleh Zaleha Ahmat.

Diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 2024, buku setebal 305 halaman ini mengajak pembaca melangkah lebih dekat kepada seorang tokoh besar sastera Melayu.

Memahami sesebuah karya tidak cukup dengan meneliti teks semata-mata. Latar hidup, pergaulan dan pemikiran pengarang turut menjadi kunci untuk menyelami maknanya.

Kekuatan utama buku ini ialah penyusunan kisah hidup Abdullah Hussain secara kronologi. Zaleha menggabungkan bahan daripada empat karya autobiografi tokoh itu sendiri, iaitu Sebuah Perjalanan (1984), Perjalanan Mencari Bahasa (2001), Perjalanan Mencari Hikmah (2003) dan Perjalanan Mencari Diri (2004). Semua karya-karya tersebut dilengkapi pula dengan penyelidikan dan rujukan lain.

Hasilnya, maklumat yang dahulu bertaburan dalam beberapa buku kini terhimpun dalam satu naratif yang lebih mudah difikuti, daripada latar keluarga dan pendidikan hingga pengalaman kerja, persahabatan, kegiatan sastera dan pengiktirafan.

Kerja ini menuntut ketelitian menyemak fakta, menyelaraskan maklumat dan menempatkan peristiwa dalam konteks yang tepat. Biografi yang baik bukan sekadar mengumpulkan cerita, tetapi membina kefahaman tentang perjalanan seorang insan.

Tujuh bab utama merangkumi asal usul, pendidikan, pengalaman hidup, persahabatan, daya kepengarangan, sikap dan pemikiran, serta perjalanan kegiatan sastera Abdullah Hussain.

Pembaca diajak mengenali Sasterawan Negara ini sebagai manusia yang dibentuk oleh pengalaman dan persekitarannya, bukan hanya sebagai nama besar dalam dunia penulisan.

Bahagian tentang daya kepengarangan dan pemikiran paling menarik perhatian. Di sini, hubungan antara pengalaman hidup dengan proses kreatif dibincangkan.

Bagi penulis muda dapat menjadi sumber inspirasi untuk membina disiplin berkarya, memperluas pembacaan dan mendalami kehidupan masyarakat sebagai bahan penulisan.

Sastera dan zamannya

Buku ini juga berfungsi sebagai rakaman sejarah sastera. Hidup Abdullah Hussain berjalan rapat dengan perkembangan masyarakat dan kesusasteraan tanah air.

Perbincangan tentang novel Interlok (1971), misalnya, memperlihatkan bagaimana sesebuah karya boleh melangkaui penceritaan dan memasuki perbahasan lebih luas tentang masyarakat dan hubungan antara kaum. Karya sastera tidak pernah terpisah daripada realiti sosial yang melingkunginya.

Namun, kekuatan sesebuah biografi tidak terletak pada banyaknya fakta. Fakta itu perlu membantu pembaca menghubungkan pengalaman hidup, pemikiran dan penghasilan karya.

Dalam hal ini, buku Zaleha Ahmat menyediakan asas yang kukuh untuk meneliti Abdullah Hussain dengan lebih menyeluruh.

Buku ini wajar sampai ke tangan pengkaji sastera, pelajar, penulis dan pencinta buku.

Hal ini mengingatkan kita bahawa warisan sastera perlu didokumentasikan agar tidak hilang daripada ingatan generasi seterusnya.

Ketenunan Zaleha Ahmat dalam penyelidikan juga membuktikan bahawa dokumentasi tokoh sastera yang bernilai lahir daripada usaha yang sabar dan penuh teliti.

Akhirnya, mengenali kehidupan seorang pujangga ialah salah satu jalan untuk menghargai karyanya dan memahami warisan pemikiran yang ditinggalkannya.

Melalui buku ini, pembaca bukan sahaja mengenali seorang sasterawan, malah menelusuri sebahagian perjalanan kesusasteraan Melayu itu sendiri.

Sudah tentu buku ini tidak mampu menampung seluruh kisah kehidupan dan gagasan Abdullah Hussain sepertimana yang pernah dihasilkan oleh beliau sendiri hampir 70 tahun tempoh kepengarangannya sebagai pengarang besar tanah air.

Namun, buku ini diharap dapat menjadi suatu rujukan dan bahan asas untuk mengetahui peribadi kehidupan Abdullah Hussain sebagai seorang insan istimewa yang bergelar pujangga.

BERITA LAIN

Kerjasama erat pacu pembangunan bandar

Kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan agensi perancangan dan pihak berkepentingan penting bagi memastikan pembangunan bandar dilaksanakan secara bersepadu, mampan serta berperspektif kesejahteraan

DBKU raih pengiktirafan bandar pintar

DEWAN Bandaraya Kuching Utara (DBKU) melakar sejarah apabila menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Sarawak menerima Anugerah Penarafan Bandar Pintar Tahap 2 bagi tahun

BERITA TERBARU

Cangkir Retak penampilan sulung Yusuf Sufali

Yusuf Sufali ialah nama yang agak baharu dalam arena penulisan puisi (sajak dan puisi tradi-sional dan eksperimental) di Sarawak. Namun nama beliau naik dengan agak

DBKU raih pengiktirafan bandar pintar

DEWAN Bandaraya Kuching Utara (DBKU) melakar sejarah apabila menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Sarawak menerima Anugerah Penarafan Bandar Pintar Tahap 2 bagi tahun