KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya kehilangan khidmat enam pemain Selangor FC yang terpaksa menarik diri daripada beraksi dalam dua Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 menentang China dan Yemen pada 14 serta 17 Nov ini akibat kecederaan.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan mengesahkan menerima surat rasmi daripada Selangor FC hari ini yang memaklumkan keenam-enam pemain mengalami kecederaan selepas aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Kuching City FC malam tadi.
Mereka ialah Nooa Laine, Ahmad Zikri Khalili, A. Selvan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Syahir Bashah dan Harith Haiqal Adam Afkar.
“FAM mengambil maklum mengenai perkara tersebut dan menghormati situasi yang dihadapi oleh pihak kelab serta pemain terbabit,” menurut kenyataan itu.
Susulan perkembangan itu, Ketua Jurulatih Interim Harimau Malaya Tan Cheng Hoe memanggil lima pemain daripada Senarai Bersedia bagi mengisi kekosongan skuad kebangsaan, iaitu Suhaimi Husin dan Safwan Mazlan (Terengganu FC), Dominic Tan (Sabah FC), Ariff Farhan Md Isa (Kuching City FC) serta Syafiq Ahmad (Kuala Lumpur City FC). – BERNAMA






