BINTULU: Kerajaan Sarawak mengambil langkah menaik taraf kira-kira 5,900 kilometer bekas jalan balak di seluruh negeri bagi meningkatkan kesalinghubungan kawasan pedalaman, sekali gus memudahkan pergerakan penduduk rumah panjang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kerajaan negeri komited mengambil alih bekas jalan balak berkenaan untuk dinaik taraf supaya dapat digunakan dengan lebih selesa dan selamat oleh masyarakat luar bandar.

Beliau berkata, usaha itu bukan sekadar meningkatkan kemudahan infrastruktur jalan raya, malah berupaya mengubah corak perjalanan serta kehidupan harian penduduk yang sebelum ini terpaksa menempuh perjalanan panjang dan sukar untuk mendapatkan akses ke kawasan lain.
“Ini menunjukkan bahawa usaha menaik taraf jalan berkenaan mampu mengubah corak perjalanan dan kehidupan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Jambatan Batang Kemena di Sebauh, di sini pada Isnin.
Menurutnya, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri untuk memperluas jaringan jalan raya sehingga ke kawasan pedalaman yang masih belum menikmati kemudahan perhubungan sempurna.
Jelasnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD) diberi tanggungjawab melaksanakan usaha berkenaan selaras dengan arahan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Ini antara usaha terakhir yang perlu kita laksanakan bagi memastikan jaringan jalan raya dapat sampai ke kawasan pedalaman,” katanya.
Mengambil contoh perjalanan dari Murum ke Lusong Laku, Uggah berkata, laluan sepanjang 44 kilometer itu sebelum ini mengambil masa kira-kira lapan jam untuk dilalui berikutan keadaan jalan yang tidak sempurna.
Bagaimanapun, katanya, kerja penambahbaikan yang dilaksanakan JKR berjaya mengurangkan tempoh perjalanan, sekali gus memberikan perubahan ketara kepada tahap aksesibiliti dan pengalaman perjalanan penduduk setempat.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut mempergiat pembangunan infrastruktur jalan raya menerusi pelaksanaan projek Jalan Pesisir dan Jalan Utama Kedua yang diluluskan dengan peruntukan keseluruhan RM11 bilion.
Menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri untuk memperkukuh jaringan perhubungan di seluruh Sarawak, termasuk memastikan masyarakat di kawasan terpencil tidak terpinggir daripada arus pembangunan.




