MUKAH: Penduduk Kampung Tellian Tradisi kini menikmati kemudahan lebih selesa apabila projek menaik taraf titian bernilai RM335,000 menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 siap dilaksanakan.
Projek Fasa 2 itu memberi tumpuan kepada penambahbaikan titian yang menjadi laluan utama penduduk untuk menghubungkan kediaman masing-masing.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian, Royston Valentine berkata, pelaksanaan projek itu penting bagi memastikan penduduk dapat menggunakan laluan itu dengan lebih selamat dan selesa.
“Kemudahan ini bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah menyokong kelancaran pelbagai urusan serta aktiviti harian penduduk kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau projek berkenaan yang turut menyaksikan sesi penyerahan tapak siap, hari ini.
Royston berharap kemudahan yang dinaik taraf itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk, sekali gus mengurangkan kesulitan ketika menggunakan laluan berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas peruntukan RTP yang disediakan bagi merealisasikan projek berkenaan.
“Projek ini dilaksanakan oleh HHM Construction dengan pemantauan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Mukah,” katanya.




