ARTIKEL

Kerajaan Sarawak Rancang Bina Jambatan Labang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Kerajaan Sarawak mempertimbangkan pembinaan Jambatan Labang di kawasan Kemena sebagai projek infrastruktur baharu bagi memperkukuh kesalinghubungan serta memudahkan pergerakan penduduk, khususnya di kawasan luar bandar.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, cadangan itu merupakan antara perancangan pembangunan infrastruktur yang akan diberi perhatian kerajaan negeri selepas siapnya Jambatan Batang Kemena di Sebauh.

Beliau memberi bayangan projek Jambatan Labang berpotensi dilaksanakan sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13.

“Kalau diberikan mandat sekali lagi pada 12 Disember ini, kita akan teruskan. Jambatan Labang akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Jambatan Batang Kemena di Sebauh, di sini, pada Isnin.

Abang Johari berkata, kerajaan negeri akan terus melaksanakan projek jalan raya yang diluluskan, termasuk menaik taraf laluan ke rumah panjang dan kawasan pedalaman yang sebelum ini banyak bergantung kepada jalan balak.

Beliau berkata, kerajaan berharap beberapa kemajuan dapat dicapai dalam pelaksanaan projek berkenaan menjelang lawatan beliau yang seterusnya ke kawasan itu.

Menurutnya, siapnya Jambatan Batang Kemena merupakan satu pencapaian penting dalam meningkatkan kesalinghubungan kawasan berkenaan, namun masih banyak keperluan infrastruktur yang perlu diberi perhatian, khususnya akses jalan raya bagi penduduk luar bandar.

Beliau merujuk kepada tayangan video pada majlis itu yang memaparkan keadaan beberapa laluan yang memerlukan penambahbaikan, termasuk Jalan Ulu Binyo, jalan balak di Ulu Jelalong, Tubau serta beberapa laluan di daerah Tatau.

Katanya, kerajaan negeri bersetuju mengambil tanggungjawab membangunkan dan menaik taraf jalan berkenaan menerusi keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).

Beliau menegaskan keputusan itu dibuat sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan bukan sekadar pengumuman menjelang pilihan raya.

“Apa-apa yang telah diputuskan akan dilaksanakan. Kita akan membangunkan jalan-jalan yang telah dikenal pasti dan sekurang-kurangnya memastikan keadaannya lebih baik serta selesa digunakan oleh penduduk,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari berkata, kerajaan negeri turut mengambil alih tanggungjawab rangkaian jalan balak yang keseluruhannya melebihi 5,000 kilometer bagi memastikan laluan berkenaan terus dapat digunakan masyarakat luar bandar.

Katanya, sebelum ini penyelenggaraan dan pengurusan akses jalan berkenaan banyak bergantung kepada syarikat pembalakan yang beroperasi di kawasan terbabit.

“Dengan mengambil alih jalan-jalan ini, kita mahu rakyat dapat menggunakannya secara percuma tanpa perlu membayar tol. Kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan untuk menaik taraf jalan berkenaan,” katanya.

Abang Johari berkata, pembangunan infrastruktur turut dilaksanakan di kawasan lain di Sarawak, termasuk pembinaan dua jambatan merentasi Batang Lupar serta pembangunan jalan raya yang menghubungkan Simanggang dan Betong.

Beliau berkata, usaha berterusan itu membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk memperluas jaringan perhubungan, menyediakan kemudahan lebih selesa serta memastikan masyarakat di kawasan pedalaman tidak terus berdepan kekangan akses kepada infrastruktur asas.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU