KUCHING: Institut Pertanian Sarawak (IPS) merancang meningkatkan kapasiti pengambilan pelajar daripada 200 kepada 400 orang menerusi pembinaan asrama baharu bernilai RM6 juta yang dijadualkan bermula tahun depan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, projek berkenaan dijangka siap pada 2028 sekali gus membolehkan institut itu beroperasi pada kapasiti penuh bagi memenuhi permintaan latihan dalam bidang pertanian.
“Secara keseluruhannya, kita boleh menempatkan 400 pelajar tetapi sekarang ini kita cuma dapat menerima 200 kerana kekurangan asrama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen Pertanian Ke-21 dan Sambutan Empat Dekad IPS di Hotel Imperial, di sini, hari ini.
Jelas Dr Abdul Rahman, peruntukan RM6 juta bagi pembinaan asrama tambahan itu disediakan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), dengan kerja-kerja pembinaan dijangka dimulakan pada 2027.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, kerajaan turut merancang menaik taraf IPS kepada kolej bagi membolehkannya menawarkan program pengajian pada peringkat diploma, berbanding program sijil yang ditawarkan ketika ini.

Katanya, cadangan itu masih pada peringkat perancangan dan diharap dapat direalisasikan menerusi RMK-13 sebagai sebahagian usaha memperkukuh pembangunan tenaga mahir dalam sektor pertanian negeri.
Pada konvokesyen kali ini, seramai 90 graduan berjaya menamatkan pengajian selama dua tahun, manakala kadar kebolehpasaran keseluruhan graduan institut itu sejak penubuhannya mencecah 82 peratus daripada lebih 2,000 graduan yang dilahirkan.






