KUCHING: Jurutera di Sarawak perlu menguasai teknologi digital seperti Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), Lebuh Raya Maklumat Bangunan (BIH) dan teknologi berkaitan bagi meningkatkan kecekapan pelaksanaan serta pengurusan infrastruktur.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bidang kejuruteraan perlu beralih daripada kaedah konvensional kepada pendekatan yang lebih moden dengan membangunkan kepakaran dalam penggunaan penyelesaian canggih dan menghasilkan teknologi sendiri.
“Saya telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) menggunakan BIM, termasuk BIH dan teknologi digital lain kerana kita tidak seharusnya terus bergantung kepada kaedah konvensional sedangkan terdapat penyelesaian yang lebih baik.
“Justeru, saya berharap jurutera kita dapat menerima perkembangan ini, membangunkan kepakaran yang diperlukan dan akhirnya menghasilkan teknologi serta penyelesaian sendiri,” katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam Tahunan Institusi Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata kecerdasan buatan (AI), automasi, robotik dan teknologi digital lain sedang mengubah landskap industri serta profesion kejuruteraan dengan pantas seiring dunia memasuki fasa baharu kemajuan teknologi.
Sarawak sedang membuat persediaan menghadapi perubahan itu menerusi inisiatif seperti Kampus Data AI Kuching di Tanjung Embang dan cadangan pembangunan AI Grid bagi memperkukuh ekonomi digital negeri ini.
Bagaimanapun, menurut beliau, pembinaan pusat data semata-mata tidak akan menjadikan Sarawak sebuah ekonomi yang maju dari segi teknologi.
“Sarawak bersikap selektif dalam menarik pelaburan pusat data kerana nilai sebenar terletak pada bagaimana teknologi berkenaan dimanfaatkan untuk membangunkan penyelesaian serta mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
Jika tidak, pusat data hanya umpama sebuah gudang yang sekadar menyimpan data,” ujarnya.
Menyentuh tentang BIM, beliau memaklumkan teknologi itu telah mengubah kaedah perancangan dan pelaksanaan projek dengan menghimpunkan maklumat projek secara digital, sekali gus meningkatkan penyelarasan, mengenal pasti potensi masalah lebih awal serta membolehkan keputusan dibuat dengan lebih baik.
Jelasnya, apabila digabungkan dengan teknologi kembar digital (digital twin), sensor dan AI, BIM mampu meningkatkan lagi pemantauan serta pengurusan infrastruktur sepanjang tempoh penggunaannya.
Abang Johari turut memuji keupayaan jurutera tempatan yang berjaya menyiapkan 21 jambatan dalam tempoh enam tahun, sekali gus menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti kemampuan kejuruteraan anak tempatan.
“Antara projek berkenaan termasuk dua jambatan masing-masing merentasi Batang Lupar dan Batang Saribas, selain Jambatan Sebauh serta Jambatan Tun Taib yang merentasi Batang Kemena,” katanya lagi.
Dalam hal berkaitan, beliau memaklumkan bahawa Sarawak turut meneroka peluang dalam sektor pembuatan maju, semikonduktor, industri digital dan teknologi baharu yang sedang berkembang.
“Justeru, kita berharap jurutera serta syarikat tempatan dapat mengambil bahagian dengan lebih aktif dalam sektor berkenaan dengan beralih daripada kerja-kerja kontrak konvensional kepada bidang kejuruteraan khusus, integrasi sistem dan inovasi,” tegasnya.





