KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Brunei bersama lebih 100 kilogram (kg) dadah disyaki syabu didapati mempunyai dua rekod jenayah lampau.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, menjelaskan suspek berusia 46 tahun dari Miri itu ditahan di Pos Kawalan Sungai Tujoh pada 31 Okt lepas ketika dipercayai menuju ke Sabah seperti dilapor Bernama.
Menurut maklumat Biro Kawalan Narkotik (BKN) Brunei, lelaki itu ditahan ketika memasuki negara tersebut dari Miri, Sarawak, dan dipercayai menjadikan laluan di negara itu sebagai transit sebelum kembali ke Malaysia.
Siasatan awal mendapati suspek dijangka melalui Kuala Belait, Seria, Tutong dan Bandar Seri Begawan sebelum ke Temburong, kemudian dipercayai memasuki semula Sarawak melalui laluan Labu-Mengkalap dan ke Sabah melalui Merapok-Sindumin.
Susulan itu, JSJN akan meneruskan kerjasama risikan dengan BKN Brunei bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah serta kemungkinan kaitannya dengan rangkaian sindiket di Malaysia.






