MUKAH: Seorang guru mengalami kerugian RM12,160 selepas terpedaya dengan tawaran perkhidmatan pengeluaran wang atau ‘Cash Out SPayLater’ yang diiklankan menerusi Facebook.
Mangsa berusia 37 tahun itu dipercayai berurusan dengan individu yang menawarkan pengeluaran wang sebanyak RM3,500 pada kadar faedah dua peratus sebelum diarahkan membuat beberapa transaksi pembayaran dan mengimbas kod QR.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden Muhamad Rizal Alias berkata, mangsa menemui iklan berkenaan menerusi akaun Facebook ‘Cashout Paylater Bysalwah’ kira-kira jam 6 petang, 6 November lalu.
Menurutnya, mangsa kemudian menghubungi suspek menerusi Messenger dan WhatsApp sebelum diminta membuat beberapa bayaran tambahan menggunakan perbankan dalam talian serta Touch ’n Go.
“Selepas semua bayaran dibuat, mangsa dimaklumkan sistem pengeluaran sedang ‘OFF’ dan wang akan dimasukkan ke akaunnya pada jam 7 pagi, namun wang berkenaan tidak diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Rizal berkata, kira-kira jam 11 pagi, 7 November lalu, mangsa sekali lagi diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM499 sebelum menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.
Semakan awal mendapati nombor telefon yang digunakan mempunyai beberapa rekod laporan polis di daerah lain, manakala salah satu akaun Touch ’n Go terbabit turut mempunyai rekod laporan polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pengeluaran wang menerusi media sosial.
Mangsa penipuan juga dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 serta membuat laporan polis.
/




