KUCHING: Keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak menjadikan sambutan Deepavali lebih bermakna apabila perayaan itu turut diraikan bersama tanpa mengira perbezaan agama dan latar belakang.
Presiden Persatuan Kuil Sri Maha Mariamman Kuching, Datuk Shankar R P Asnani berkata, keistimewaan sambutan Deepavali di Sarawak terserlah menerusi hubungan erat masyarakat yang saling menghormati dan meraikan perayaan kaum lain.
Meskipun masyarakat India merupakan kelompok minoriti dengan jumlah dianggarkan tidak melebihi 10,000 orang di Sarawak, mereka tetap berasa dihargai dan diterima sebagai sebahagian daripada keluarga besar negeri ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbukanya di The King’s Curry, Jalan Rumbia, di sini, hari ini.
Shankar berkata, meskipun Deepavali bukan cuti umum di Sarawak, masyarakat India tetap dapat menyambut perayaan itu tanpa berdepan kesukaran kerana kerajaan negeri sentiasa mengambil kira kebajikan komuniti berkenaan.

“Sudah tentu, jika Deepavali diberikan cuti umum, ia sesuatu yang sangat baik. Namun, kami tidak menuntut perkara itu kerana bagi saya, ekonomi yang kukuh juga memerlukan rakyat terus bekerja.
“Paling penting, kami merasakan diri dihormati, diberikan peluang pekerjaan yang baik serta pengiktirafan oleh kerajaan Sarawak,” katanya.
Beliau turut menghargai sokongan kewangan kerajaan negeri yang membolehkan masyarakat India membina Kuil Sri Maha Mariamman sebagai pusat ibadat dan pertemuan komuniti.
Jelasnya, kuil berkenaan bukan sahaja dikunjungi masyarakat India daripada pelbagai latar belakang seperti Tamil, Punjabi, Gujarati, Sindhi, Telugu dan Malayali, malah turut menerima kunjungan masyarakat Cina beragama Hindu serta keturunan Baba dan Nyonya.
Mengulas tradisi sambutan Deepavali keluarganya yang berketurunan Sindhi, Shankar berkata, perayaan itu dimulakan dengan upacara sembahyang pada waktu pagi, diikuti doa untuk ahli keluarga dan insan tersayang.
Antara hidangan istimewa keluarganya ialah Satta Baji, iaitu sajian yang menggabungkan tujuh jenis sayur-sayuran dan dimasak bersama mengikut tradisi turun-temurun.
“Angka tujuh membawa maksud kemakmuran, kebahagiaan dan tuah. Ia juga dianggap sebagai angka suci dalam tradisi kami,” katanya.
Shankar yang berasal daripada keluarga India generasi kelima dilahirkan di Sarawak berkata, pengalaman membesar bersama masyarakat Melayu, Cina, Iban dan Bidayuh membentuk identitinya sebagai anak Sarawak.
“Saya lebih Sarawak daripada India. Kami membesar bersama masyarakat Cina, Melayu, Iban dan Bidayuh. Kami tidak melihat satu sama lain sebagai orang asing, sebaliknya sebagai saudara dan jiran. Sarawak tetap tempat saya,” ujarnya.
Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis berkenaan, Shankar menyifatkan Deepavali sebagai perayaan kemenangan cahaya mengatasi kegelapan yang turut membawa mesej persahabatan, kemurahan hati dan kegembiraan berkongsi rezeki.





