KUCHING: Jentera Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Samariang digesa memperkukuh gerak kerja bagi membantu Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengekalkan kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang pada Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13).
Penyandang DUN Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, Samariang merupakan kubu kuat GPS, khususnya Kampung Samariang Batu yang menjadi antara kawasan penting kepada kekuatan PBB.
Sehubungan itu, beliau menggesa jentera Wanita PBB Cawangan Samariang memastikan penduduk keluar mengundi pada 12 Disember ini bagi menunaikan tanggungjawab mereka.
“Saya yakin semua yang hadir memahami tanggungjawab kita untuk bersama-sama memastikan kerajaan sedia ada, iaitu GPS di bawah kepimpinan Premier Sarawak, kembali menerajui negeri ini.

“Hasrat tersebut hanya dapat direalisasikan sekiranya kita semua memainkan peranan dengan memastikan setiap pengundi keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Bersama Wanita N.7 Samariang di Dewan Kasba, Kampung Samariang Batu, di sini, hari ini.
Hasidah yang juga Naib Ketua Wanita PBB berkata, penduduk perlu terus bersatu dan tidak mudah terpengaruh dengan pihak luar yang cuba memecahbelahkan masyarakat setempat.
Menurutnya, sebarang kelemahan atau perkara yang perlu diperbaiki wajar dibincangkan secara bersama bagi mencari penyelesaian terbaik.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November 2026 sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal dijadualkan pada 8 Disember sebelum hari pengundian pada 12 Disember bagi PRU Sarawak Ke-13.






