ARTIKEL

Mandat baharu penting untuk teruskan PCDS 2030

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Mandat baharu daripada rakyat penting bagi membolehkan kerajaan Sarawak meneruskan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030) serta memperluas agenda pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, mandat baharu kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) diperlukan bagi memastikan kesinambungan dasar pembangunan yang dirangka, selain membolehkan negeri bersedia menghadapi perubahan landskap ekonomi global.

Menurutnya, kestabilan politik yang dinikmati Sarawak ketika ini perlu dipelihara kerana menjadi asas kepada kesinambungan pembangunan dan pelaksanaan dasar kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Presiden Persatuan Kuil Sri Maha Mariamman Kuching, Datuk Shankar R P Asnani, di The King’s Curry, Jalan Rumbia, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, Sarawak tidak boleh hanya bergantung kepada pencapaian pembangunan terdahulu, sebaliknya perlu terus bergerak ke hadapan dengan mengambil kira perubahan ekonomi dunia.

Abang Johari berbual mesra bersama Dr. Kalwinder ketika mengunjungi rumah terbuka beliau di Sungai Maong, hari ini.

Katanya, agenda pembangunan bagi tempoh lima tahun akan datang perlu memberi tumpuan kepada ekonomi baharu, termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI), robotik dan pengkomputeran generasi seterusnya.

Beliau berkata, penyediaan pendidikan tinggi percuma kepada anak Sarawak di universiti milik negeri merupakan antara strategi untuk melahirkan tenaga kerja tempatan yang mampu memenuhi keperluan industri masa depan.

Dalam aspek infrastruktur, katanya, pembangunan jalan raya, jambatan dan pelabuhan akan terus diperluas bagi meningkatkan hubungan kawasan pedalaman, khususnya Baram, dengan pusat pertumbuhan ekonomi.

Menurutnya, jaringan perhubungan lebih baik mampu membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat, selain memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh di seluruh Sarawak.

“Selepas lima tahun, kita memerlukan satu lagi mandat untuk tempoh lima tahun seterusnya. Apa yang kita lakukan sekarang ialah memastikan pembangunan dapat diperluas ke seluruh Sarawak,” ujarnya.

Tambahnya, kesinambungan dasar dan kestabilan politik turut penting untuk membolehkan Sarawak membangunkan ekosistem ekonomi yang mampu menarik pelaburan, melahirkan tenaga profesional serta meningkatkan daya saing negeri di peringkat global.

Terdahulu, Abang Johari bersama rombongan turut mengunjungi rumah terbuka Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Kalwinder Singh Khaira, di Sungai Maong, di sini.

Kunjungan itu bertujuan mengeratkan hubungan antara kepimpinan negeri dengan masyarakat, sekali gus memperkukuh semangat kekitaan yang menjadi asas keharmonian Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU