ARTIKEL

Sarawak perlukan lebih ramai pakar undang-undang hadapi era AI

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Perkembangan pesat teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan transaksi digital menuntut Sarawak melahirkan lebih ramai pakar undang-undang bagi menangani cabaran perundangan baharu seiring kemajuan ekonomi negeri.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perubahan landskap teknologi memerlukan lebih ramai tenaga profesional berkepakaran khusus dalam bidang perundangan, terutama berkaitan keselamatan siber dan transaksi digital.

Menurutnya, keperluan itu semakin penting apabila Sarawak mempergiat usaha membangunkan ekonomi berteraskan teknologi serta memperluas penyertaan negeri dalam pasaran global.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Presiden Persatuan Kuil Sri Maha Mariamman Kuching, Datuk Shankar R P Asnani, di The King’s Curry, Jalan Rumbia, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, keperluan tenaga profesional turut merangkumi bidang kejuruteraan yang memerlukan pengkhususan baharu bagi memenuhi tuntutan pembangunan teknologi.

Jelasnya, peralihan daripada era pengeluaran besar-besaran kepada penggunaan internet, Internet Pelbagai Benda (IoT), robotik dan AI menunjukkan ekonomi dunia semakin bergantung kepada teknologi kompleks.

Sarawak perlu bersedia menghadapi perkembangan AI generasi baharu serta meneroka peluang kerjasama antarabangsa dalam bidang teknologi bagi memperkukuh kedudukan negeri dalam ekonomi masa depan.

Pendidikan percuma di universiti milik Sarawak antara strategi melahirkan lebih ramai anak tempatan berpendidikan tinggi dan berkemahiran dalam bidang yang diperlukan industri.

Abang Johari menyampaikan ucapan pada majlis rumah terbuka Deepavali berkenaan.

” Pembangunan tenaga profesional dan kepakaran khusus itu penting bagi memastikan Sarawak mempunyai ekosistem yang lengkap untuk menyokong kemajuan teknologi, selain menjamin aspek perundangan terus relevan dengan perubahan semasa,” ujarnya.

Terdahulu, Abang Johari bersama rombongan turut mengunjungi rumah terbuka Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Kalwinder Singh Khaira, di Sungai Maong, di sini.

Kunjungan itu bertujuan mengeratkan hubungan antara kepimpinan negeri dengan masyarakat, sekali gus memperkukuh semangat kekitaan yang menjadi asas keharmonian Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU