ARTIKEL

54 peratus kanak-kanak Sarawak alami kekurangan tiga dimensi kesejahteraan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kajian Indeks Kesejahteraan Kanak-Kanak Sarawak (SCWI) memberikan gambaran lebih jelas mengenai tahap kesejahteraan kanak-kanak di negeri ini apabila dapatan awal menunjukkan 54 peratus daripada mereka mengalami kekurangan dalam sekurang-kurangnya tiga dimensi yang dinilai.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kajian yang melibatkan 3,124 kanak-kanak itu menilai kesejahteraan mereka berdasarkan tujuh dimensi, iaitu ekonomi, pendidikan, kesihatan, kesejahteraan sosial dan emosi, hubungan keluarga, keselamatan serta akses digital.

Katanya, dapatan itu menunjukkan masih terdapat jurang kesejahteraan yang memerlukan perhatian dan tindakan bersama bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat akses kepada peluang serta perkhidmatan yang sewajarnya.

Toh Puan Fauziah menyempurnakan simbolik perasmian Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Negeri Sarawak 2026. | Foto: Ramidi Subari

“Dapatan awal kajian SCWI yang melibatkan 3,124 kanak-kanak menunjukkan bahawa 54 peratus mengalami kekurangan dalam sekurang-kurangnya tiga dimensi kesejahteraan yang dinilai.

“Penemuan ini memberi gambaran bahawa masih terdapat jurang kesejahteraan yang memerlukan perhatian dan tindakan secara bersama,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Negeri Sarawak 2026 bertemakan “Our Children, Our Future” di Hotel Waterfront, di sini, hari ini.

Tambahnya, dalam usaha memperkukuh kesejahteraan kanak-kanak di Sarawak, Kerajaan Sarawak melalui KPWK terus memperluas kerjasama strategik dengan pelbagai pihak, termasuk Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia, bagi memastikan dasar dan program yang dilaksanakan lebih menyeluruh, bersepadu serta berasaskan keperluan sebenar kanak-kanak.

Toh Puan Fauziah diiringi Fatimah dan tetamu kehormat yang lain bersalaman dengan kanak-kanak sekali gus menyantuni tetamu. | Foto: Ramidi Subari

Menurutnya, pelaksanaan kajian SCWI antara hasil penting kerjasama berkenaan, sekali gus satu lagi langkah penting dalam memperkukuh agenda kesejahteraan kanak-kanak di Sarawak.

“Laporan SCWI ini juga akan menjadi rujukan penting kepada Kementerian dan agensi berkaitan dalam mengenal pasti kumpulan serta kawasan yang memerlukan perhatian, memperkukuh penyelarasan antara agensi dan merangka intervensi yang lebih berfokus serta berasaskan bukti.

“Hasil kajian ini juga akan membantu memastikan sumber dan perkhidmatan disalurkan kepada kanak-kanak yang paling memerlukan,” ujarnya.

Toh Puan Fauziah dan Fatimah merakam gambar kenangan bersama-sama tetamu. | Foto: Ramidi Subari

Sementara itu, Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Negeri Sarawak 2026 itu turut disempurnakan oleh isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Beliau turut menyaksikan penyerahan laporan SCWI oleh Ketua Dasar Sosial UNICEF Malaysia, Dr Juanita Vasquez-Escallon, kepada Fatimah.

Dalam pada itu, Fatimah memaklumkan, suara dan pandangan kanak-kanak juga perlu diberi perhatian dalam usaha merangka dasar serta program yang berkaitan dengan kehidupan mereka.

Fatimah ketika berucap. | Foto: Ramidi Subari

Menurutnya, kanak-kanak bukan sekadar penerima dasar, program atau bantuan, sebaliknya mempunyai pandangan, pengalaman, aspirasi dan idea yang wajar didengari serta dipertimbangkan.

“Kadangkala, perkara yang dianggap kecil oleh orang dewasa mungkin menjadi perkara yang sangat besar bagi seseorang kanak-kanak.

Justeru, kita perlu menyediakan ruang yang selamat dan sesuai supaya mereka selesa berkongsi pandangan, mengemukakan cadangan serta menyuarakan kebimbangan tanpa rasa takut atau bimbang dipersalahkan.

“Pelbagai platform perlu terus dimanfaatkan untuk tujuan ini, termasuk sesi dialog awam yang dianjurkan oleh Majlis Kanak-Kanak di bawah Inisiatif Bandar dan Komuniti Mesra Kanak-Kanak (CFCI),” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU