ARTIKEL

Abang Johari bayang empat penyandang PBB dicalon semula

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Empat penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dibayangkan mungkin dikekalkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum DUN Sarawak Ke-13.

Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang juga Yang di-Pertua PBB, berkata, beliau mahu melihat wakil rakyat yang hadir pada program berkenaan terus menyandang jawatan sebagai ADUN selepas pilihan raya akan datang.

“Saya mahu melihat semua wakil rakyat yang hadir hari ini terus kekal sebagai Yang Berhormat selepas pilihan raya akan datang.

“Saya rasa wartawan tahulah apa yang disebut saya, mungkin mereka akan terus menjadi calon,” katanya ketika berucap pada Program Konvoi Bermotosikal Pemuda PBB bersama Premier Sarawak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, di Dewan Kampung Matang Batu 10, di sini, hari ini.

Empat penyandang ADUN yang hadir ialah penyandang Stakan, Datuk Hamzah Brahim; penyandang Satok, Datuk Ibrahim Baki; penyandang Tupong, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman, dan penyandang Kedup, Datuk Martin Ben.

Bayangan itu menarik perhatian terhadap kemungkinan keempat-empat wakil rakyat berkenaan dikekalkan sebagai calon GPS bagi mempertahankan kerusi masing-masing pada PRU Sarawak ke 13.

Sementara itu, Fadillah dalam ucapannya turut membayangkan kedudukan Fazzrudin dan Ibrahim sebagai wakil rakyat selepas PRU Sarawak ke-13.

“Yang Berhormat Datuk Fazzrudin, insya-Allah akan terus menjadi calon dan kekal sebagai ADUN di kawasan ini.

“Begitu juga dengan Yang Berhormat Datuk Ibrahim Baki. Insya-Allah, selepas pilihan raya nanti, beliau akan terus menjadi Yang Berhormat di kawasan Satok,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari turut mengingatkan jentera parti supaya mempertahankan tiga dasar utama pentadbiran GPS, iaitu pembangunan ekonomi, kebajikan rakyat dan pendidikan.

“Pembangunan ekonomi Sarawak perlu terus diperkukuh bagi memastikan wilayah ini kekal berdaya saing serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi muda.

“Dari segi kebajikan, pelaksanaan Skim Bantuan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) kini memasuki tahun ketiga bagi membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup,” katanya.

Katanya, pendidikan juga menjadi keutamaan menerusi pembiayaan yuran pengajian tinggi untuk anak Sarawak selain pembangunan universiti teknologi baharu di Kampung Trombol yang akan menawarkan banyak kursus pengajian termasuk bidang aeroangkasa.

Turut hadir, Ahli Parlimen Sibuti, Datuk Lukanisman Awang Sauni, dan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU