KUCHING: Sumbangan besar dalam memacu pembangunan industri hartanah Sarawak mendapat pengiktirafan apabila Tan Sri Yee Ming Seng dari Double Dynasty Group of Companies dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat SHEDA 2026 pada Majlis Makan Malam Tahunan dan Anugerah Kecemerlangan Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA), malam tadi.
Majlis penyampaian anugerah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bertemakan “Masa Depan Pembangunan Hartanah dengan Kecerdasan Buatan” itu disempurnakan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, yang mewakili Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bagi menghargai jasa dan sumbangan tokoh industri dalam membentuk landskap pembangunan hartanah negeri.
Selain itu, Kenbest Sdn Bhd menerusi projek Milano Eight menerima Anugerah Kecemerlangan bagi kategori Pembangunan Berstrata (Pembangunan Bercampur), manakala Chen Ling Development Sdn Bhd menerusi Tower 33 meraih Anugerah Merit bagi kategori sama.
Sendayan Properties Sdn Bhd pula menerima Anugerah Merit bagi kategori Pembangunan Berstrata (Kediaman) menerusi projek Royal Stampin Residence, sementara Md-Kwang Tai Realty Sdn Bhd (Chen Ling Group of Companies) diiktiraf bagi kategori Pelan Induk menerusi projek Central City.
Bagi kategori Pembangunan Kediaman Bertanah (Skala Kecil), pengiktirafan diberikan kepada Elements Space Group Sdn Bhd menerusi projek Chimes, manakala Sendayan Jaya Sdn Bhd menerima Anugerah Merit bagi kategori Pembangunan Perumahan Mampu Milik (Swasta) menerusi projek Aurora Square.
Dinospec Technology Sdn Bhd pula menerima Anugerah Penghargaan bagi kategori Pembangunan Perumahan Mampu Milik (Swasta) menerusi projek Taman Harmoni, Fasa 1, sementara Elica Sdn Bhd menerima Anugerah Kepimpinan Tanggungjawab Sosial Korporat SHEDA.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis Makan Malam Tahunan SHEDA 2026, Datuk Dr Sim Kiang Chiok berkata, penggunaan kecerdasan buatan (AI) kini mengubah kaedah industri hartanah dalam merancang, mereka bentuk, membina, memasarkan dan menguruskan hartanah.
Katanya, industri berkenaan perlu bersedia menerima perubahan teknologi seiring aspirasi Sarawak untuk menjadi negeri berpendapatan tinggi dan membangunkan ekonomi digital.
“Jika kita terus melakukan perkara dengan cara lama, kita tidak boleh mengharapkan untuk membina Sarawak baharu,” katanya sambil menambah bahawa teknologi kecerdasan buatan menawarkan peluang besar kepada pemaju untuk menganalisis potensi tanah, menambah baik perancangan bandar, mengoptimumkan jadual pembinaan, mengurangkan pembaziran serta meningkatkan kecekapan penyelenggaraan bangunan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kecanggihan teknologi tidak seharusnya mengatasi pertimbangan dan nilai kemanusiaan dalam pembangunan hartanah.
“Kecerdasan buatan boleh menjadi pintar, tetapi tidak dapat menggantikan kebijaksanaan manusia,” katanya sambil menegaskan kepentingan kepercayaan, integriti, empati dan hubungan sesama manusia dalam industri itu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Anugerah Kecemerlangan SHEDA 2026, Datuk Ir John Yong berkata, mutu pembangunan hartanah di Sarawak semakin meningkat apabila pemaju mula mengutamakan reka bentuk pintar, teknologi digital dan kelestarian.
Jelasnya, penilaian terhadap sesebuah pembangunan kini tidak lagi tertumpu kepada saiz projek atau kemasan bangunan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira sejauh mana pembangunan itu memenuhi keperluan kehidupan moden.
“Kediaman pintar bukan lagi sekadar ciri tambahan, sebaliknya semakin menjadi keperluan asas bagi kediaman moden yang selesa,” katanya.
Menurutnya, penggunaan sistem pengurusan bangunan dan sistem kediaman bersepadu mampu memberikan manfaat secara langsung kepada keluarga di Sarawak, termasuk mengurangkan kos utiliti, meningkatkan keselamatan serta mewujudkan komuniti yang lebih mampan.
Beliau turut menyifatkan kemunculan generasi baharu pemaju dan golongan profesional muda yang membawa idea segar, teknologi praktikal serta pendekatan pembangunan lestari sebagai perkembangan positif kepada masa depan industri hartanah negeri.
“Usaha membina rumah bukan sekadar menyusun batu-bata dan konkrit, tetapi membentuk ruang kehidupan yang sihat serta komuniti yang mampu berkembang maju,” ujarnya.






