ARTIKEL

Pemaju hartanah Sarawak perlu utamakan pembangunan bakat dan tadbir urus kukuh – Abang Johari

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pemaju hartanah Sarawak perlu melihat pembangunan bakat dan pengukuhan tadbir urus sebagai pelaburan jangka panjang, bukan sekadar mengejar keuntungan melalui pelaksanaan projek pembangunan.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pemain industri hartanah mempunyai pengaruh besar dalam membentuk masa depan ekonomi negeri, manakala tanggungjawab mereka tidak terhad kepada pembinaan bangunan serta penyediaan projek semata-mata.

Sebaliknya, katanya, pemaju berupaya memainkan peranan penting dalam menarik, membangunkan dan mengekalkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri yang semakin mencabar.

Dr Sim ditemani tetamu kehormat lain merakam kenangan bersama penerima anugerah.

“Anda mempunyai keupayaan untuk menarik, membangunkan dan mengekalkan bakat, menyediakan laluan kerjaya yang jelas, menggalakkan pembelajaran berterusan serta membina tempat kerja yang menghormati, memotivasikan dan memperkasa pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian pada Majlis Makan Malam Tahunan dan Anugerah Kecemerlangan SHEDA 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam tadi.

Menurut Abang Johari, integriti korporat, ketelusan, akauntabiliti dan pengurusan yang bertanggungjawab perlu menjadi asas kepada setiap keputusan perniagaan, hubungan profesional serta penglibatan pemain industri dengan masyarakat.

Katanya, prinsip berkenaan penting bagi membentuk organisasi yang kukuh, sekali gus memastikan pembangunan industri hartanah berjalan secara bertanggungjawab dan mendapat kepercayaan masyarakat.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan pemain industri supaya tidak terlalu bergantung kepada kecerdasan buatan (AI) sehingga mengabaikan keupayaan manusia untuk berfikir, memahami, membuat penilaian dan mengambil keputusan secara bertanggungjawab.

“AI sangat berkuasa, tetapi ia perlu melengkapi dan bukannya menggantikan keupayaan kita untuk belajar, memahami, menilai dan membuat keputusan secara bertanggungjawab,” jelasnya.

Bagi memperkukuh modal insan, beliau memberitahu kerajaan Sarawak turut melaksanakan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) bagi menyediakan peluang pendidikan tinggi tanpa yuran pengajian kepada anak Sarawak yang layak.

Katanya, seramai 6,246 pelajar mendapat manfaat daripada skim itu pada 2026, dengan jumlah berkenaan dijangka meningkat kepada 10,600 pelajar pada 2027 melalui peruntukan RM200 juta.

Tambahnya, matlamat utama inisiatif itu ialah melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang selari dengan aspirasi pembangunan Sarawak, sekali gus menyediakan kumpulan tenaga profesional untuk memenuhi keperluan ekonomi masa depan.

“Kami mahu anda mencari peluang, membina kehidupan yang bermakna dan menikmati kemakmuran di sini,” katanya merujuk kepada harapan kerajaan negeri terhadap anak Sarawak.

Selain itu, beliau menegaskan pembangunan modal insan hari ini ialah sebahagian daripada pelaburan untuk membina ekonomi Sarawak yang berorientasikan masa depan, termasuk memastikan pasaran hartanah mempunyai tenaga kerja bertaraf dunia.

Sehubungan itu, Abang Johari menggesa pemaju dan pemain industri supaya menilai semula keutamaan masing-masing dengan memberi penekanan kepada pembangunan bakat, tadbir urus yang baik serta kesejahteraan pekerja bagi menjamin kemampanan industri hartanah Sarawak pada masa depan.

BERITA LAIN

Perang siber

SERANGAN siber ke atas sistem stok dan bekalan pasar raya, sistem penyimpanan plasma darah dan infrastruktur makanan di Eropah memperlihatkan wajah baharu bentuk peperangan moden.

BERITA TERBARU

Peluang komuniti nemba ekonomi

KUCHING: Pemansang penatai biodiversiti Sarawak patut dipejalai enggau meruan dikena nentuka komuniti orang asal ti meri bantu ulih ngasaika pemaik ekonomi nengah ari pansik enggau

Belia perlu berani suarakan idea bangun kawasan

BALINGIAN: Golongan belia perlu lebih berani menyuarakan idea dan pandangan bagi membantu memajukan kawasan masing-masing, selaras dengan peranan mereka sebagai aset penting dalam pembangunan masyarakat.