SERANGAN siber ke atas sistem stok dan bekalan pasar raya, sistem penyimpanan plasma darah dan infrastruktur makanan di Eropah memperlihatkan wajah baharu bentuk peperangan moden.
Musuh tidak perlu mengebom bandar, cukup dengan menggodam sistem bekalan makanan, rawatan dan bekalan keperluan harian.
Semua ini dibantu kecanggihan Al.
Bayangkan sebuah bandar yang masih berdiri, bangunan tidak musnah dan tiada bom dijatuhkan, tetapi kehidupan penduduknya lumpuh.
Pasar raya kehilangan bekalan makanan, peti sejuk tidak lagi berfungsi, sistem pengangkutan terganggu dan orang ramai yang panik mula memenuhi kedai untuk mendapatkan barangan keperluan.
Inilah bentuk peperangan baharu yang semakin membimbangkan dunia.
Pada 12 Oktober lalu, beberapa ratus pasar raya di Perancis dilaporkan menjadi sasaran serangan siber terhadap sistem penyejukan.
Penggodam dipercayai berjaya mengubah tetapan suhu peti sejuk dan pembeku dari jarak jauh sehingga menyebabkan makanan rosak dan kerugian besar.
Gelombang kedua berlaku pada 2 November apabila gangguan serupa dilaporkan di sekurang-kurangnya sembilan negara Eropah; Belgium, Estonia, Finland, Ireland, Itali, Luxembourg, Belanda, Portugal dan Sweden.
SASARAN
Menurut media, antara rangkaian perniagaan terjejas termasuk Carrefour, Delhaize, Colruyt, Coop, ICA dan SuperValu.
Lebih mengejutkan, pada 2 November, tiga kemudahan penyimpanan darah dan plasma milik perkhidmatan darah kebangsaan Perancis turut terjejas.
Serangan ke atas penyedia teknologi penyejukan menyebabkan tetapan suhu dan sistem nyahbeku berubah secara luar biasa.
Mujurlah sistem amaran berjaya mengesan pencerobohan dan petugas memindahkan produk berkaitan.
Pihak berkuasa mengesahkan tiada produk darah atau plasma yang rosak.
Persoalannya, apakah sebenarnya yang sedang berlaku?
Kita sedang menyaksikan perubahan sasaran peperangan siber.
Jika dahulu penggodam lebih tertumpu kepada pencurian wang, maklumat peribadi dan rahsia kerajaan, kini sasaran turut melibatkan teknologi operasi yang mengawal peralatan fizikal.
Peti sejuk industri, gudang sejuk beku, sistem hospital dan kemudahan penyimpanan makanan boleh menjadi sasaran.
Bahaya sebenar terletak pada kesan berantai.
Apabila sistem penyejukan gagal, makanan rosak.
Apabila bekalan makanan terganggu, pengguna mula menyimpan stok.
PANIK
Apabila berlaku pembelian panik, harga boleh meningkat dan bekalan menjadi semakin terhad.
Ketakutan masyarakat akhirnya boleh memburukkan keadaan yang pada asalnya berpunca daripada gangguan digital.
Lebih jauh, jika gangguan ini berlanjutan dan melibatkan pengangkutan, bekalan tenaga serta sistem pembayaran, ketegangan sosial boleh tercetus.
Demonstrasi, perebutan barangan dan rusuhan merupakan antara risiko yang tidak mudah diketepikan.
Pihak berkuasa mungkin terpaksa mengehadkan pergerakan atau melaksanakan perintah berkurung.
Namun, setakat laporan semasa, belum ada pengesahan bahawa serangan peti sejuk ini telah menyebabkan rusuhan besar-besaran atau rakyat Eropah dilarang keluar rumah.
Apakah yang mungkin berlaku selepas ini? Dijangkakan tiga perkembangan yang perlu diperhatikan.
Pertama, serangan mungkin berkembang kepada gudang makanan, pelabuhan, sistem pengagihan ubat-ubatan dan infrastruktur kesihatan.
Kedua, penjenayah siber mungkin menggunakan kecerdasan buatan untuk mengenal pasti kelemahan sistem dengan lebih pantas.
Ketiga, serangan terhadap beberapa negara serentak boleh meningkatkan ketegangan geopolitik dan mengganggu perdagangan antarabangsa.
Amaran kerajaan AS pada 5 November berkaitan ancaman berterusan terhadap sistem penyejukan industri menunjukkan bahawa risiko ini bukan lagi isu Eropah semata-mata.
Malaysia juga perlu mengambil iktibar.
KESELAMATAN
Kita mempunyai gudang sejuk beku, pasar raya moden, hospital, pusat penyimpanan darah dan rangkaian bekalan makanan yang semakin bergantung dengan teknologi digital.
Satu kelemahan pada penyedia sistem, pihak ketiga berpotensi menjejaskan banyak organisasi serentak.
Kerajaan perlu mewajibkan audit keselamatan siber bagi infrastruktur kritikal,
mengasingkan rangkaian kawalan mesin daripada Internet awam, menyediakan sistem kawalan manual dan melaksanakan simulasi ecemasan.
Syarikat makanan dan kesihatan pula perlu mempunyai sistem sandaran serta pelan pemindahan stok yang sensitif terhadap suhu.
Pada peringkat masyarakat, literasi keselamatan siber perlu dipertingkatkan.
Setiap keluarga wajar mempunyai bekalan asas untuk beberapa hari, termasuk air minuman, makanan tahan lama, ubat penting dan wang tunai kecemasan.
Namun, persediaan tidak bermaksud membeli secara berlebihan sehingga menjejaskan orang lain.
Akhirnya, peperangan masa depan mungkin tidak lagi ditentukan oleh jumlah kereta kebal, pesawat atau peluru berpandu.
Peperangan masa depan mungkin ditentukan oleh keupayaan sesebuah negara melindungi sistem yang memastikan rakyatnya terus hidup.






