MIRI: Peningkatan kes diabetes di Sarawak semakin membimbangkan apabila penyakit itu boleh mengundang komplikasi serius, termasuk kegagalan buah pinggang, sekali gus memerlukan masyarakat lebih mengutamakan pencegahan menerusi gaya hidup sihat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembinaan pusat dialisis penting bagi menyediakan kemudahan rawatan kepada pesakit, namun usaha mencegah penyakit perlu diberi keutamaan.
Masyarakat perlu mengamalkan pemakanan seimbang, melakukan aktiviti fizikal dan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi mengurangkan risiko penyakit kronik.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pusat dialisis baharu Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Cawangan Miri di Bandar Baru Permyjaya, di sini, hari ini.
Menurutnya, diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung merupakan antara masalah kesihatan utama yang semakin membebani masyarakat.
Trend peningkatan kes diabetes itu turut dikesan menerusi pemeriksaan kesihatan di bawah program Sarawakku Sayang yang dilaksanakan di beberapa bahagian, termasuk Miri, Sibu dan Sarikei.
Jelasnya, perkembangan berkenaan perlu diteliti bagi mengenal pasti faktor penyumbang, khususnya berkaitan gaya hidup dan tabiat pemakanan masyarakat.
Beliau turut bimbang dengan peningkatan masalah kesihatan dalam kalangan golongan muda yang mungkin berpunca daripada tabiat pemakanan tidak sihat, termasuk pengambilan makanan ringan secara berlebihan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya mengurangkan pengambilan gula, melakukan aktiviti fizikal secara berkala dan mengurus tekanan dengan baik bagi mengawal paras gula serta tekanan darah.
Abang Johari turut menggalakkan orang ramai memanfaatkan teknologi seperti telefon pintar dan jam tangan pintar untuk memantau tahap kesihatan masing-masing.
Katanya, pemeriksaan kesihatan juga perlu dilakukan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh enam bulan hingga setahun bagi membolehkan keadaan kesihatan dinilai secara berkala.
Mengenai pusat dialisis baharu itu, beliau merakamkan penghargaan kepada PBSM Cawangan Miri serta semua pihak yang menyumbang kepada penubuhannya.
Menurutnya, penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan komuniti dan individu amat penting dalam membantu pesakit yang memerlukan rawatan dialisis secara berterusan.
Beliau berkata, Miri kini mempunyai dua pusat dialisis, manakala Sarikei turut memohon penambahan kemudahan seumpama itu, mencerminkan peningkatan keperluan terhadap perkhidmatan berkenaan.
Katanya, kira-kira RM8 juta diperlukan setiap tahun bagi menampung kos operasi pusat dialisis, justeru sokongan kewangan berterusan penting bagi memastikan perkhidmatan itu dapat dikekalkan.
Tambahnya, kerajaan akan terus membantu golongan yang memerlukan kerana kesejahteraan masyarakat merupakan asas penting dalam menjamin masa depan Sarawak yang lebih cerah.




