KUCHING: Pembangunan semula Darul Hana perlu mengutamakan keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan penduduk, selain memastikan setiap isu masyarakat ditangani menerusi perbincangan serta penyelesaian praktikal.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kejayaan pembangunan semula kawasan itu bukan sekadar bergantung pada pembinaan rumah, malah melibatkan keupayaan penduduk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

“Kita mahu mengubah keadaan penempatan yang berdepan masalah rumah uzur, risiko banjir, hakisan tebing sungai, kepadatan penduduk dan keterbatasan kemudahan infrastruktur,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi pada Majlis Perasmian Karnival Darul Hana 2026 di Perumahan Darul Hana, Jalan Tun Salahuddin, di sini, hari ini.

Menurutnya, Projek Pembangunan Darul Hana melibatkan kawasan seluas kira-kira 722 ekar di sepanjang Sungai Sarawak yang merangkumi perkampungan tradisional dengan sejarah panjang serta nilai warisan masyarakat Melayu di Kuching.
Kerajaan negeri mengambil kira sejarah penempatan, hubungan kekeluargaan dan keperluan penduduk yang telah menetap di kawasan itu sejak beberapa generasi dalam melaksanakan pembangunan semula berkenaan.
“Pembangunan ini dilaksanakan secara berfasa supaya proses penempatan semula dapat diurus dengan teratur, tanpa meminggirkan masyarakat asal yang telah lama menetap di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan semula kawasan yang didiami sejak turun-temurun turut melibatkan pelbagai persoalan serta kebimbangan penduduk, khususnya berkaitan hubungan sentimental mereka terhadap rumah dan kampung asal.
Sehubungan itu, kerajaan negeri memberi penekanan kepada rundingan, penerangan dan sesi libat urus bersama masyarakat sepanjang pelaksanaan projek bagi memastikan pandangan serta keperluan penduduk diambil kira.
Dalam pada itu, beliau berkata, kepimpinan tempatan memainkan peranan penting sebagai penghubung antara masyarakat, kerajaan negeri, Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) serta agensi pelaksana.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk Darul Hana dan masyarakat Seberang Hilir atas kesabaran, kefahaman serta kerjasama sepanjang pelaksanaan projek berkenaan.
Pada masa sama, LCDA dan agensi berkaitan diminta terus memberi perhatian kepada kemajuan projek, kualiti pembinaan, penyediaan infrastruktur serta kebajikan penduduk.
Pembangunan Darul Hana juga perlu merangkumi kemudahan sosial, ruang perniagaan, kawasan rekreasi dan kawasan hijau bagi mewujudkan persekitaran yang selesa.
Beliau berharap Darul Hana terus berkembang sebagai komuniti moden, selamat dan tersusun tanpa mengabaikan semangat kejiranan, hubungan kekeluargaan serta identiti masyarakat setempat.




