KUALA LUMPUR: Penyanyi Pasya menegaskan bahawa pelapis industri muzik yang muncul menerusi program realiti perlu memiliki ketahanan mental tinggi supaya tidak mudah merajuk atau hilang arah apabila populariti menurun.
Penyanyi bernama sebenar Faizul Ashraff Fauzi, 32, yang pernah menyertai program Mentor itu menjelaskan bahawa perhatian ketika bergelar peserta televisyen sering membuatkan artis baharu merasakan diri mereka sudah berada di puncak seperti dilapor Bernama.

Susulan itu, beliau menasihati artis baharu agar tidak pulang ke kampung atau menyalahkan keadaan apabila nama mula sepi, sebaliknya memanfaatkan setiap peluang publisiti dengan persediaan matang.
Selain itu, Pasya mengingatkan golongan pelapis supaya menjauhi sikap bongkak dan merendahkan diri untuk berguru daripada artis berpengalaman atau yang pernah melalui fasa kejatuhan.

Dalam pada itu, beliau menyatakan single terbaharunya, Tak Tertanggung Lagi, ciptaan Aryan Putra yang mengisahkan kesinambungan cerita kecurangan daripada lagu Aku Bukan Cinta, kini boleh ditonton video muziknya di YouTube.






