PULAU Mawar yang terkenal dengan keunikan formasi batuan semula jadi menyerupai pintu gerbang digelar sebagai Heaven’s Gate, berpotensi diketengahkan sebagai tarikan pelancongan berasaskan alam semula jadi.
Menariknya, pulau yang terletak kira-kira 28 kilometer dari bandar Mersing ini boleh diakses dengan hanya berjalan kaki dari Pantai Mawar melalui laluan berpasir dan berbatua kecil air surut, sambil ditemani keindahan paya bakau.
Yang Dipertua Majlis Daerah Mersing, Abdul Karim Bakar berkata, Pulau Mawar turut diiktiraf sebagai sebahagian daripada Zon Geopark Mersing, merangkumi khazanah geologi, biodiversiti dan warisan budaya tempatan.
Beliau berkata, keindahan pantai, formasi batuan dan landskap semula jadi kawasan itu menawarkan pengalaman tersendiri kepada pengunjung, khususnya pencinta alam, fotografi serta mereka yang gemar meneroka permata tersembunyi.
“Selain itu, kawasan sekitar Pulau Mawar juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti perkhemahan, pendakian ringan dan memancing, malah antara lokasi ideal untuk merakam Bima Sakti dan aktiviti mencerap bintang (stargazing),” katanya.
Bagaimanapun, Abdul Karim berkata, kawasan itu perlu dibangunkan secara terkawal dengan mengambil kira sensitiviti alam sekitar, keselamatan pengunjung dan kesesuaian aktiviti pelancongan tanpa menjejaskan keaslian alam semula jadinya.
“Prinsip kita jelas, iaitu pembangunan pelancongan mesti bergerak seiring dengan pemeliharaan alam sekitar. Ini kerana Pulau Mawar bukan saja perlu untuk dikunjungi hari ini, tetapi juga kekal indah untuk generasi akan datang.
“Pada masa sama, kerjasama semua pihak diperlukan dalam memastikan keberishan serta keindahan Pulau Mawar terus terpelihara termasuk tidak membuang sampah merata-rata dan merosakkan habitat semula jadi,” katanya.
Mengenai aspek keselamatan, Abdul Karim menyarankan kepada pengunjung yang ingin melakukan aktiviti kembara (hiking) atau stargazing agar menggunakan khidmat jurupandu terlatih terdiri daripada Malim Gunung Perhutanan atau jurupandu tempatan yang mahir tentang selok-belok Pulau Mawar.
“Inisiatif ini bagi memastikan keselamatan pengunjung dan mengelakkan berlaku sebarang kejadian tidak diingini, mereka juga diingatkan untuk sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, Mat Razak Awang, 64, yang berpengalaman sebagai jurupandu di pulau yang dibuka kepada pengunjung sejak September 2022 itu berkata lokasi berkenaan mempunyai pelbagai batuan menarik menerupai tingkap, serigala dan anak dinosaur, selain Heaven’s Gate.
Bapa kepada tujuh cahaya mata yang mesra dipanggil Pok Jak itu berkata, beliau lazimnya mengambil masa kira-kira tiga jam untuk membawa pengunjung meneroka kawasan berkenaan, termasuk perjalanan ke beberapa lokasi menarik dan sesi bergambar dengan harga serendah RM10 seorang, tertakluk kepada cuaca dan waktu air pasang surut.
Pok Jak berkata, khidmat jurupandu penting bagi membantu pengunjung mengenal pasti laluan yang betul terutamanya di kawasan yang mempunyai laluan bercabang, bagi mengelakkan sebarang risiko tidak diingini.
“Pernah berlaku pengunjung tersalah memilih laluan ke kawasan batu tingkap dan gagal mencari jalan keluar ketika berpatah balik disebabkan air pasang.
“Justeru, kita sentiasa menasihati pengunjung agar mematuhi arahan terutamanya ketika mendaki dan melalui kawasan berbatu agar tidak tergelincir,” katanya, yang turut berpeluang memandu arah pelancong asing termasuk dari China, Jepun, England dan Australia.
Seorang pengamal media dari Bernama Biro Johor Kamarul Halim M Kamal, 43, berkata, perjalanan hampir tiga jam dari Batu Pahat ke Pulau Mawar tidak terasa apabila disajikan dengan keindahan formasi batuan granit dan gua-gua kecil yang memukau.
“Kebiasaannya kalau pergi pulau kita akan menaiki bot, tetapi uniknya pulau ni kita boleh jalan kaki sahaja, malah kawasan ini juga sesuai untuk mereka yang gemarkan suasana tenang dan antara lokasi Instagrammable.
“Selain itu, pengalaman hiking dengan rakan-rakan sambil mendengar Pok Jak berceloteh mengenal flora dan fauna yang terdapat di Pulau Mawar sememangnya amat berharga dan tidak akan dilupakan,” katanya.
Pulau Mawar merekodkan kira-kira 40,000 pengunjung setahun, dan tiket masuk semasa serendah RM5.00 seorang boleh didapati di kaunter bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. -Bernama





