KOTA BHARU: Seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) kerana memiliki dua ekor burung murai batu bernilai dianggarkan RM50,000 tanpa dokumen kebenaran.
Penahanan itu dibuat menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan di Kampung Banggol Pak Esah, Selising, Pasir Puteh, pada petang semalam.
Menurut Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain, anggota Cawangan Risik Batalion 7 PGA Kuantan, Pahang menemukan burung itu dalam bangsal di tepi rumah suspek pada 5.45 petang.
Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pemilikan, sedangkan burung itu dipercayai dibelinya daripada seorang rakan dari Gua Musang dan dipelihara sejak 2019.
Selain burung itu, dua sangkar bernilai dianggarkan RM800 turut dirampas, manakala semua rampasan dan suspek diserahkan kepada Perhilitan Kelantan untuk siasatan mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) seperti dilapor Bernama.






