ARTIKEL

Augustine (tengah) ditemani tetamu kehormat lain merakam gambar bersama barisan panel hakim Majlis Makan Malam Tahunan dan Anugerah Kecemerlangan SHEDA 2026.

SHEDA gesa kerajaan nilai semula dasar rumah mampu milik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) menggesa kerajaan negeri menilai semula dasar pembangunan perumahan mampu milik bagi memastikan bekalan rumah yang mencukupi, bersesuaian dengan keperluan pasaran serta realiti kos pembangunan semasa.

Presidennya, Datuk Augustine CH Wong, berkata antara cadangan utama ialah memberikan pilihan kepada pemaju sama ada membangunkan sendiri projek perumahan mampu milik atau membayar levi yang ditetapkan kerajaan.

“Pendekatan ini perlu mengambil kira perbezaan kos tanah dan pembangunan mengikut kawasan, berbanding pelaksanaan dasar seragam yang mungkin tidak lagi sesuai dengan keadaan pasaran semasa.

“Bagi permintaan pertama kami, kami berharap pemaju diberikan pilihan untuk membina rumah mampu milik atau membayar levi yang ditetapkan bagi pembangunan perumahan mampu milik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam Tahunan dan Anugerah Kecemerlangan SHEDA 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam tadi.

Jelas Augustine, pengiraan levi berasaskan zon lebih selari dengan prinsip kesaksamaan yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), selain mengambil kira perbezaan nilai tanah antara satu kawasan dengan kawasan lain.

Beliau turut meminta kerajaan mempertimbangkan semula kaedah pembayaran levi secara berperingkat seperti dicadangkan SHEDA bagi membantu pemaju mengurus aliran tunai dan kedudukan kewangan projek dengan lebih berhemah.

Dalam pada itu, beliau mengemukakan satu lagi permintaan supaya kerajaan memperkenalkan dasar yang membolehkan pembangunan perumahan mampu milik Sri Pertiwi mewakili Sarawak dalam pasaran perumahan di peringkat nasional dan serantau.

Katanya, harga jualan rumah Sri Pertiwi wajar disemak semula supaya mencerminkan kos sebenar pembangunan, manakala syarat kelayakan pemohon perlu dinilai bagi membolehkan lebih banyak keluarga menikmati manfaat inisiatif berkenaan.

“Sri Pertiwi diwujudkan oleh rakyat Sarawak untuk rakyat Sarawak.

Kami percaya pembangunan perumahan Sri Pertiwi boleh terus memainkan peranan penting dalam menyokong kestabilan pasaran hartanah,” katanya.

Mengulas pencapaian industri, Augustine berkata, kejayaan projek M10 Residency, iaitu usaha sama Sri Pertiwi antara Sendayan Ventures Sdn Bhd dan Sumberdyna Sdn Bhd, meraih anugerah Kategori Perumahan Mampu Milik Bertanah pada Malaysia Property Award 2025 membuktikan keupayaan projek perumahan Sarawak bersaing di peringkat nasional.

Beliau memberitahu, pencapaian itu menyusul selepas projek berkenaan memenangi gelaran Outstanding dalam Anugerah Kecemerlangan SHEDA 2024, sekali gus membuka peluang kepada lebih banyak projek tempatan diketengahkan melalui kerjasama SHEDA dengan FIABCI Malaysia.

Dalam perkembangan lain, SHEDA turut mempergiat usaha memperkukuh kelestarian industri menerusi kerjasama dengan GreenRE Sdn Bhd, Green Building Index Sdn Bhd dan CIDB, selain memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan ESD GreenTech Sdn Bhd bagi meningkatkan keupayaan pembangunan mampan dalam kalangan ahlinya.

Kata Augustine, persatuan itu juga terus memperjuangkan penambahbaikan undang-undang berkaitan perumahan, termasuk isu pengiraan ganti rugi kelewatan penyerahan milikan kosong (LAD), penerimaan yuran tempahan serta penjualan hartanah selepas pengeluaran Perakuan Menduduki (OP).

Justeru, beliau berharap kerjasama berterusan kerajaan negeri dan pemain industri dapat memastikan dasar perumahan lebih responsif terhadap perubahan pasaran, selain menjamin kelangsungan bekalan rumah mampu milik untuk rakyat Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Misi ke final Piala FA

KEMENANGAN bergaya 2-0 ke atas wakil Korea Selatan, Gangwon FC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) tiga hari lepas bakal menjadi suntikan moral buat

AgriCOP Pakan nyungkat penatai pemisi

PAKAN: Urug 150 penyerta ari 13 rumah panjai ba menua Nunggang udah nglulu Program AgriCOP Pelilih Pakan dikena nambah penemu enggau peransang ngaul diri ba