KUCHING: Pemaju hartanah Sarawak perlu berani mengubah pendekatan pembangunan dengan mengutamakan kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar, bukan sekadar mengejar keuntungan jangka pendek.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pemain industri hartanah mempunyai pengaruh besar dalam membentuk masa depan ekonomi negeri kerana peranan mereka bukan hanya membina bangunan, malah mencorakkan kehidupan masyarakat.
“Sebagai pemaju, anda perlu memperluas tanggungjawab dengan membangunkan bakat, mengekalkan tenaga profesional berkemahiran serta menyediakan persekitaran kerja yang menghargai dan memperkasa pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian pada Majlis Makan Malam Tahunan dan Anugerah Kecemerlangan SHEDA 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan bahawa integriti korporat, ketelusan, akauntabiliti dan pengurusan yang bertanggungjawab perlu menjadi asas setiap keputusan perniagaan serta hubungan profesional dengan masyarakat.
Justeru, beliau menggesa pemaju memberikan perhatian lebih besar kepada kesan jangka panjang projek terhadap alam sekitar dan komuniti, termasuk kecekapan tenaga, pengurusan sumber serta penggunaan tanah secara mampan.
Tegasnya, industri pembinaan juga perlu meneroka teknologi inovatif, kaedah pembinaan moden, bahan lestari dan penyelesaian digital bagi meningkatkan produktiviti, kualiti serta kecekapan kos.
Menurutnya lagi, pembangunan bertanggungjawab kadangkala menuntut pemain industri mengetepikan keuntungan segera dan membuat keputusan sukar demi kepentingan generasi akan datang.
Bagi memperluas pengaruh industri hartanah Sarawak, beliau turut menggesa Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) meneroka lebih banyak peluang kerjasama di peringkat nasional dan antarabangsa.
Katanya, kemudahan penerbangan terus dari Kuching ke beberapa bandar di China serta pelancaran penerbangan sulung Air Borneo bagi laluan Kuching–Jakarta pada 13 November ini membuka ruang lebih luas untuk memperkukuh hubungan perniagaan serantau.
Beliau mencadangkan SHEDA bekerjasama dengan Sarawak Trade and Tourism Office Singapore (STATOS) serta Business Events Sarawak (BE Sarawak) bagi menarik penyertaan delegasi dan penceramah daripada negara ASEAN, China, Korea Selatan serta Australia ke persidangan SHEDA: Encore.
“Kerjasama ini bukan sahaja mampu meningkatkan penyertaan antarabangsa, malah memperkaya perkongsian ilmu dan penyelidikan berkaitan industri hartanah serta pembinaan,” jelas beliau.
Beliau turut menyarankan SHEDA menganjurkan lawatan teknikal dan membawa pakar antarabangsa ke Sarawak bagi berkongsi penyelesaian terhadap cabaran industri tempatan, termasuk keadaan tanah lembut dan masalah banjir.
Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari mengiktiraf peranan SHEDA sebagai rakan strategik kerajaan negeri dalam agenda pembangunan, termasuk penglibatan persatuan itu dalam perbincangan cadangan pindaan Peraturan-Peraturan Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 2014 yang diharap dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Pindaan berkenaan diharap dapat menangani beberapa isu mendesak industri perumahan tanpa mengabaikan perlindungan kepentingan pembeli rumah,” ujarnya.





