ARTIKEL

Misi ke final Piala FA

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KEMENANGAN bergaya 2-0 ke atas wakil Korea Selatan, Gangwon FC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) tiga hari lepas bakal menjadi suntikan moral buat Kuching City FC menjelang pertembungan hidup mati menentang Selangor FC dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA 2026/27, malam ini.

Selepas membuktikan kemampuan menundukkan pasukan dari Korea Selatan menerusi aksi penuh disiplin dan keberanian di Stadium Taha Ariffin, kini perhatian anak-anak buah Aidil Sharin Sahak kembali terarah kepada misi lebih besar, memburu tiket final Piala FA.

Namun, perjalanan itu bukan mudah apabila The Cats perlu bangkit daripada kekalahan 1-2 kepada Selangor FC pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada 23 Oktober lalu.

Kelebihan satu gol yang dimiliki Red Giants menjadikan pertemuan kedua di Kuching sebagai penentu kepada impian kedua-dua pasukan untuk meneruskan perjuangan dalam pertandingan berprestij itu.

Di atas kertas, peluang Kuching City dilihat masih terbuka.

Perbezaan satu jaringan bukanlah jurang besar untuk ditutup, apatah lagi mereka bakal mendapat sokongan padu di Stadium Taha Ariffin.

Malah, sejarah pertemuan kedua-dua pasukan memberikan gambaran bahawa Kuching City bukan lawan yang mudah untuk ditundukkan lebih-lebih lagi beraksi di laman sendiri.

Kemenangan 1-0 ke atas Selangor dalam aksi separuh

akhir kedua Piala Malaysia pada 18 April lalu masih segar dalam ingatan penyokong The Cats.

Kembalikan keyakinan

Untuk itu, kemenangan 2-0 ke atas Gangwon FC pastinya menjadi modal psikologi terbaik buat tuan rumah sebelum menghadapi Selangor dan lebih menggembirakan ialah kemampuan Kuching City memperlihatkan ketajaman penyudah ketika berhadapan pasukan yang memiliki pengalaman luas di pentas Asia.

Safawi Rasid muncul wira apabila meledak dua gol pada minit ke-12 dan ke-19 untuk memberikan kemenangan pertama The Cats dalam kempen ACL2 musim ini.

Jaringan awal Safawi memberikan keyakinan kepada rakan sepasukan untuk terus menguasai rentak permainan, sekali gus memaksa Gangwon bekerja keras mencari jalan merapatkan jurang.

Bagaimanapun, Kuching City perlu sedar bahawa Selangor bukan pasukan yang mudah menyerahkan kelebihan lebih-lebih lagi apabila mereka memiliki barisan pemain berpengalaman serta kemampuan menghukum kesilapan lawan.

Kekalahan 1-2 pada aksi pertama memberikan gambaran jelas mengenai ancaman yang mampu dicetuskan anak-anak didik Aidil.

Pada aksi di Stadium MBPJ, Kuching City sebenarnya memulakan permainan dengan cukup meyakinkan apabila Ramadhan Saifullah meletakkan pasukan pelawat di hadapan seawal minit kesembilan.

Jaringan itu hadir selepas Ramadhan mempamerkan gerakan individu menarik dengan melepasi beberapa pemain pertahanan Selangor sebelum menewaskan penjaga gol lawan.

Namun, kelebihan tersebut tidak bertahan lama apabila Selangor menyamakan kedudukan menerusi Eduardo Sosa pada minit ke-19.

Jaringan itu menyuntik semangat tuan rumah untuk meningkatkan tekanan, manakala Kuching City cuba mengembalikan penguasaan permainan menerusi serangan pantas.

Kedua-dua pasukan kemudian mempamerkan aksi lebih seimbang sehingga tamat babak pertama dengan kedudukan terikat 1-1.

Memasuki babak kedua, Selangor memiliki kelebihan dari segi keberkesanan serangan apabila Sosa sekali lagi menemui sasaran pada minit ke-58 menerusi serangan balas pantas.

Jaringan kedua itu menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan apabila Kuching City gagal mendapatkan gol penyamaan sehingga tamat perlawanan.

Rekod pertemuan

Jika melihat kepada rekod pertemuan keseluruhan sejak musim 2021 hingga 23 Oktober 2026, ternyata Selangor mempunyai kelebihan berbanding Kuching City.

Daripada 13 pertemuan kompetitif yang direkodkan sejak 2021, Selangor mencatat lapan kemenangan, Kuching City empat kemenangan manakala satu perlawanan berakhir dengan seri.

Selangor juga mendahului dari segi jumlah jaringan dengan

27 gol berbanding 13 gol yang dihasilkan Kuching City.

Namun, angka tersebut tidak semestinya menggambarkan kemampuan sebenar kedua-dua pasukan ketika ini kerana perkembangan Kuching City sejak beberapa musim kebelakangan ini menunjukkan peningkatan ketara.

Apa yang menarik, tiga kemenangan Kuching City ke atas Selangor dalam beberapa musim terakhir menunjukkan The Cats sudah mampu memberikan tentangan lebih seimbang.

Malah, kemenangan 2-1 pada 29 Jun 2024, 2-1 pada 16 Mac 2025 dan 1-0 pada 21 September 2025 membuktikan Selangor bukan lagi pasukan yang boleh berasa selesa apabila bertandang ke Kuching.

Manakala, kemenangan 1-0 pada 18 April lalu pula menjadi bukti paling jelas bahawa The Cats mempunyai keupayaan menyingkirkan Red Giants dalam perlawanan yang membawa tekanan tinggi.

Bijak membaca permainan

Dalam situasi memerlukan kemenangan, kebijaksanaan Aidil mengatur strategi menjadi antara faktor utama yang bakal menentukan nasib Kuching City.

Jurulatih berpengalaman itu tidak boleh terlalu terburu-buru mengarahkan anak buahnya menyerang kerana Selangor memiliki kemampuan memanfaatkan ruang yang ditinggalkan di bahagian pertahanan.

Sebaliknya, The Cats perlu membina serangan secara tersusun dengan memanfaatkan kepantasan pemain sayap serta keupayaan pemain tengah mengawal penguasaan bola.

Keupayaan Safawi, Ramadhan Saifullah dan Jerome Etame untuk mencipta peluang serta mengancam kubu lawan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

Bagaimanapun, Kuching City tidak boleh terlalu bergantung kepada seorang pemain sahaja.

Pemain lain perlu tampil menyumbang, khususnya dalam situasi bola mati, gerakan dari bahagian sayap dan percubaan dari luar kotak penalti.

Satu lagi kelebihan yang tidak boleh dipandang ringan ialah sokongan penyokong sendiri.

Stadium Taha Ariffin dijangka menjadi medan kebangkitan The Cats dengan kehadiran penyokong yang mahu melihat pasukan kesayangan mereka sekali lagi mencipta sejarah.

Sokongan padu penyokong Sarawak mampu memberikan suntikan semangat kepada pemain, terutama ketika perlawanan memasuki fasa getir.

Tetapi, pemain juga perlu bijak mengawal emosi dan tidak membiarkan tekanan daripada harapan penyokong menjejaskan tumpuan.

Jika Kuching City berjaya mendapatkan jaringan awal, tekanan akan beralih kepada pasukan pelawat yang terpaksa memikirkan semula pendekatan permainan mereka.

Sebaliknya, jika Selangor berjaya menjaringkan gol terlebih dahulu, cabaran The Cats akan menjadi lebih sukar kerana mereka perlu mengejar defisit yang semakin melebar.

Jangan persia-siakan peluang

Apa yang diperlukan ialah persembahan berani, penyudah lebih tajam dan pertahanan yang tidak mudah goyah.

Sebenarnya, peluang ke final masih terbuka dan kelebihan satu gol yang dimiliki Selangor bukanlah sesuatu yang tidak boleh diatasi.

Kuching City mempunyai sejarah, kemampuan dan sokongan

penyokong untuk mencipta satu lagi malam istimewa di Stadium Taha Ariffin.

Jika kejayaan menewaskan Gangwon menjadi petanda kebangkitan The Cats di pentas Asia, kini tiba masanya membuktikan bahawa semangat sama mampu diterjemahkan dalam saingan Piala FA.

Misi balas dendam bukan sekadar mahu menewaskan Selangor, tetapi membuktikan Kuching City sudah bersedia berdiri sebaris dengan pasukan terbaik negara dan malam ini bakal menjadi ujian sebenar kepada karakter, keberanian dan kematangan para pemain.

BERITA LAIN

Perang siber

SERANGAN siber ke atas sistem stok dan bekalan pasar raya, sistem penyimpanan plasma darah dan infrastruktur makanan di Eropah memperlihatkan wajah baharu bentuk peperangan moden.

Tanggungjawab kontraktor

KONTRAKTOR tidak mendengar kata. Itulah realiti yang berlaku di lapangan. la bukan sekadar cerita yang disampaikan dari mulut ke mulut. Namun, jangan salah faham. Bukan

BERITA TERBARU

AgriCOP Pakan nyungkat penatai pemisi

PAKAN: Urug 150 penyerta ari 13 rumah panjai ba menua Nunggang udah nglulu Program AgriCOP Pelilih Pakan dikena nambah penemu enggau peransang ngaul diri ba