ARTIKEL

Tanggungjawab kontraktor

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KONTRAKTOR tidak mendengar kata. Itulah realiti yang berlaku di lapangan. la bukan sekadar cerita yang disampaikan dari mulut ke mulut.

Namun, jangan salah faham. Bukan semua kontraktor begitu. Saya tidak pernah mengatakan kesemuanya tidak bertanggungjawab. Jika semuanya bersikap demikian, mana mungkin begitu banyak projek kerajaan berjaya disiapkan mengikut jadual, malah ada yang siap lebih awal daripada tempoh ditetapkan.

Saya mahu berkongsi cerita kontraktor yang boleh disifatkan sebagai ‘cikai’ melaksanakan amanah yang diberikan.

Cerita ini bermula apabila projek pembinaan jalan lorong kampung dilaksanakan. Semasa sesi penyerahan tapak projek oleh pihak kementerian, bos syarikat pembinaan berkenaan memberikan jaminan yang mereka akan melakukan yang terbaik.

Jawapan yang cukup menyenangkan hati dan sedap didengar. Penduduk tentunya mengharapkan kontraktor yang dilantik mempunyai pengalaman, kepakaran serta sikap profesional.

Melihat skala projek, pembinaan jalan lorong di kampung bukan sesuatu yang asing bagi mereka. Pekerja yang ditempatkan di tapak juga rata-ratanya bukan baru dalam dunia pembinaan. Ada pengalaman yang boleh dimanfaatkan.

Hasil kerja

Sebaik kerja dimulakan, beberapa perkara mula menimbulkan tanda tanya. Hasil kerja pada peringkat awal kurang memuaskan, malah ada bahagian yang kelihatan ‘senget’.

Penduduk mula mempersoalkan perbezaan antara spesifikasi kerja yang sepatutnya dilaksanakan dengan penerangan pihak kontraktor kepada orang kampung. Bukan semua penduduk mempunyai pengetahuan teknikal mengenai

pembinaan.

Kebanyakan mereka hanya mengetahui perkara asas, manakala butiran spesifikasi projek lebih difahami oleh barisan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), ketua kaum serta penghulu.

Namun, jangan mengambil kesempatan atas kekurangan pengetahuan teknikal penduduk.

Orang kampung mungkin tidak tahu mengukur ketebalan konkrit, memahami lukisan teknikal atau meneliti dokumen kontrak, itu tidak bermakna mereka tidak mampu melihat apabila sesuatu kerja dibuat secara sambil lewa.

Perbezaan

Hari demi hari, keadaan semakin membimbangkan. Jalan lorong yang sepatutnya dibina dengan lebar lapan kaki, sebaliknya hanya dibina enam kaki lebar.

Perbezaan dua kaki itu mungkin dianggap kecil oleh kontraktor, tetapi bagi penduduk yang akan menggunakannya untuk jangka masa panjang, ia bukan perkara remeh.

Dari segi ketinggian dan kemasan pula, keadaannya lebih mengecewakan. Secara keseluruhannya, hasil kerja seolah-olah tidak menggambarkan projek yang dilaksanakan mengikut spesifikasi ditetapkan.

Pimpinan kampung mula bersuara dan menegur. Namun, jawapan yang diberikan cukup menghairankan. Pekerja di tapak memaklumkan mereka hanya mengikut arahan pihak atasan.

Apabila ditanya kepada pihak pengurusan atau bos kontraktor, timbul pula persoalan apabila mereka sendiri dikatakan tidak mengetahui secara terperinci spesifikasi kerja yang perlu dilaksanakan.

Bagaimana sebuah syarikat boleh menerima projek tetapi tidak mengetahui dengan jelas perkara yang perlu dibina? Adakah projek diterima secara membuta tuli?

Atau dokumen spesifikasi sekadar pelengkap untuk mendapatkan kontrak, sedangkan pelaksanaannya diserahkan kepada pekerja tanpa pemantauan sewajarnya?

Jika benar begitu, siapa sebenarnya yang bertanggungjawab memastikan projek berkenaan menepati kehendak agensi pelaksana?

Akhirnya pihak agensi yang memiliki projek diminta turun ke tapak untuk membuat pemeriksaan. Pihak kontraktor turut dijemput hadir supaya segala persoalan dapat dijelaskan secara bersemuka.

Malangnya, bos kontraktor tidak dapat hadir dan hanya menghantar wakil. Apabila melibatkan isu pelaksanaan projek yang sudah dibangkitkan berkali-kali, bukankah lebih baik pihak yang membuat keputusan sendiri turun melihat keadaan sebenar?

Jangan hanya berani memberikan jaminan ketika sesi penyerahan tapak, tetapi sukar pula menampilkan diri apabila timbul masalah.

Selepas pihak agensi turun membuat pemeriksaan dan memberikan teguran, barulah ada perubahan pada kerja pembinaan. Sekurang-kurangnya ada perkembangan positif.

Namun, perkara menyedihkan ialah sebahagian besar kerja sudah pun dilaksanakan sebelum teguran dibuat.

Mengapa perlu menunggu pihak agensi turun terlebih dahulu sebelum kerja diperbetulkan? Mengapa teguran pimpinan kampung seolah-olah tidak dipandang serius?

Adakah suara orang kampung tidak penting kerana mereka bukan pihak yang meluluskan kontrak? Atau adakah kontraktor beranggapan selagi tiada pemeriksaan rasmi, mereka bebas melaksanakan kerja mengikut cara sendiri?

Peruntukan awam

Perlu diingat, projek kerajaan bukan projek peribadi dan bukan juga harta milik syarikat kontraktor. la menggunakan peruntukan awam untuk memberikan kemudahan serta manfaat kepada masyarakat. Justeru, setiap sen yang dibelanjakan perlu diterjemahkan melalui hasil kerja berkualiti, bukannya sekadar memenuhi syarat untuk menuntut bayaran dan menamatkan kontrak.

Melalui cerita ini, saya ingin mengingatkan pimpinan kampung, khususnya JKKK, ketua kaum dan penghulu supaya tidak hanya berdiam diri atau bersetuju dengan apa-apa sahaja yang dilakukan kontraktor.

Jika mendapati sesuatu kerja tidak mengikut spesifikasi, bersuaralah. Tegur pihak kontraktor dan jika tiada perubahan, buat aduan kepada agensi pelaksana serta minta pemeriksaan di tapak dilakukan.

Jangan takut untuk menegur. Itu bukan bermakna kita mahu mencari kesalahan atau sengaja menyusahkan kontraktor. Sebaliknya, kita mahu memastikan projek yang dilaksanakan benar-benar menepati tujuan asal.

Dalam masa yang sama, penduduk juga perlu memainkan peranan sebagai mata dan telinga di lapangan. Mereka yang menggunakan kemudahan berkenaan setiap hari tentunya lebih memahami keperluan serta masalah setempat.

Kami hanya mahu jalan yang dibina mengikut spesifikasi, mempunyai ukuran yang betul, dibina dengan kemasan baik dan mampu bertahan sebagaimana sepatutnya.

Mutu kerja

Jangan menggunakan alasan mahu menyiapkan projek mengikut jadual sehingga aspek kualiti diketepikan. Siap mengikut tempoh masa memang penting, tetapi siap dengan mutu kerja yang baik jauh lebih penting.

Sebab itu, penduduk meletakkan harapan tinggi agar kemudahan yang dibina dapat dinikmati untuk tempoh panjang, bukannya berhadapan dengan masalah sebaik sahaja kerja diserahkan.

Kepada kontraktor yang bertanggungjawab, teruskan budaya kerja profesional. Syarikat yang amanah, menepati spesifikasi dan menghormati masyarakat setempat amat dihargai. Kepada kontraktor yang bersikap sambil lewa, jangan anggap orang kampung tidak tahu apa-apa dan boleh menerima bulat-bulat setiap alasan yang diberikan.

Jangan hanya berjanji ketika mahu mendapatkan kepercayaan, tetapi gagal membuktikannya apabila kerja bermula. Ingat, kontrak mungkin diberikan kepada syarikat anda, tetapi kemudahan yang dibina itu adalah untuk rakyat. Orang kampung tidak meminta lebih. Mereka cuma mahu apa-apa yang dijanjikan dilaksanakan seperti yang sepatutnya.

BERITA LAIN

Sebelum pangkah kertas undi

SEBELUM 26 Oktober lalu, perbualan tentang Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 hangat diperkatakan. Biasanya perbualan bermula dengan satu perkataan iaitu bubar. “Bila DUN bubar?”

Dasar pendidikan S’wak pacu ekonomi rakyat

“KALAU tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Peribahasa klasik ini membawa makna, cita-cita, harapan dan kejayaan tidak akan tercapai tanpa usaha gigih dan pengorbanan. Jasnita

BERITA TERBARU

MINTRED perkukuh infrastruktur keusahawanan Limbang

LIMBANG: Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelabuhan Sarawak (MINTRED) terus memperkukuh ekosistem keusahawanan di negeri ini menerusi pembangunan Anjung Usahawan Limbang di Penapak, yang menyediakan

Sarawak rekod lonjakan 64.2 peratus pelancong China

KUCHING: Kehadiran pelancong dari China ke Sarawak meningkat sebanyak 64.2 peratus bagi tempoh Januari hingga September 2026, sekali gus mendorong Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) terus