ARTIKEL

Sebelum pangkah kertas undi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SEBELUM 26 Oktober lalu, perbualan tentang Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 hangat diperkatakan.

Biasanya perbualan bermula dengan satu perkataan iaitu bubar.

“Bila DUN bubar?” tanya seorang pak cik sambil mengacau kopi O panas di atas meja di sebuah kedai minum.

Soalan itu dilontarkan seolah-olah tarikh pembubaran rahsia yang hanya diketahui orang tertentu.

Setelah tarikh DUN bubar diumum pada 26 Oktober lalu, kemudian, masing-masing mencongak bila PRU Sarawak akan diadakan. Masing-masing mengeluarkan dalil tentang tarikh sesuai untuk mengadakan plihan raya.

Hakikatnya, jalan menuju kotak undi mempunyai langkah-langkah yang tersusun.

Kalau kita memahaminya, kita tidak mudah dibuai desas-desus.

Mari kita mulakan dari pintu pertama. Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai hayat lima tahun.

Apabila tempohnya tamat, Dewan itu bubar dengan sendirinya, ibarat kenduri yang sudah sampai ke penghujung hidangan.

Namun DUN juga boleh dibubarkan lebih awal oleh Sultan, Raja atau Yang di-Pertua Negeri atas nasihat Menteri Besar atau Ketua Menteri atau Premier (merujuk kepada Sarawak).

Di sinilah selalunya spekulasi bermula. Ada yang membaca tanda-tanda alam, ada yang membaca tanda-tanda politik dan ada yang sekadar membaca status rakan di media sosial.

Selepas pembubaran, jam mula berdetik. Pilihan Raya Umum (PRU) negeri mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.

Kemudian tibalah saat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan writ.

Writ itu merupakan surat kuasa yang membolehkan pilihan raya dijalankan dan melaluinya, SPR mewartakan tarikh penting seperti hari penamaan calon dan hari mengundi.

Untuk PRU Sarawak Ke-13, hari ini SPR mengumumkan beberapa tarikh penting untuk pelaksaan PRU di negeri ini.

Saat ini ibarat paluan gendang pembuka majlis.

Selepas itu, SPR melantik pegawai pengurus pilihan raya untuk setiap kawasan DUN.

Mereka akan memastikan setiap borang diterima dengan adil dan setiap peraturan dipatuhi tanpa mengira warna bendera.

Bagaimanapun, ada satu urusan yang sering dipandang remeh, iaitu daftar pemilih.

Warganegara berusia 18 tahun ke atas didaftarkan secara automatik, suatu kemudahan yang tidak dinikmati generasi terdahulu.

Namun didaftarkan tidak sama dengan peka.

Ramai yang baru tersedar lokasi pusat mengundinya telah berubah apabila hari sudah hampir tiba.

Sebab itu, pemilih dinasihatkan menyemak status dan lokasi pusat mengundi melalui portal MySPR Semak sebelum hari penamaan calon.

Menyemak ini hanya mengambil masa seminit dua, tetapi ketinggalan mengundi boleh menyebabkan kita menyesal lima tahun.

Hari penamaan calon pula penuh warna dan debar.

Antara jam 9.00 hingga 10.00 pagi, calon daripada parti politik mahupun calon bebas datang menyerahkan borang di pusat penamaan calon.

Setiap calon DUN perlu membayar deposit pilihan raya sebanyak RM5,000 dan deposit bahan kempen RM3,000.

Wang itu bukan sekadar tiket masuk, tetapi tanda kesungguhan.

Kadangkala berlaku sesuatu yang jarang-jarang.

Jika hanya seorang calon dicalonkan bagi sesebuah DUN, pegawai pengurus pilihan raya akan mengisytiharkan calon itu menang tanpa bertanding.

Kemenangan sebegitu sah dari segi undang-undang, tetapi saya sentiasa terfikir bahawa pengundi di kawasan itu kehilangan peluang untuk bersuara.

Kembali semula kepada hari penamaan calon, sebaik sahaja ia selesai, kempen bermula secara rasmi.

Poster dipasang, ceramah diadakan dengan permit polis, risalah diedarkan dan pintu rumah demi rumah diketuk.

Inilah musim yang paling riuh-rendah.

Tiba-tiba semua orang rajin menziarah dan menyapa.

Saya tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini kerana itulah lumrah pesta demokrasi.

Cuma, dengarlah dengan hati yang tenang dan timbang dengan akal yang jernih, apa yang setiap calon cuba sampaikan.

Janji yang manis perlu dibandingkan dengan rekod yang nyata.

Kempen setiap calon mesti dihentikan tepat jam 12.00 tengah malam sebelum hari mengundi.

Selepas itu, sunyi menyelimuti. Hening itulah yang memberi ruang kepada pemilih untuk berfikir sendirian tanpa sebarang bisikan.

Dalam hal ini, ada pula kumpulan yang mengundi lebih awal.

Anggota tentera, polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan mereka mengundi di pusat undi awal, biasanya beberapa hari sebelum hari mengundi utama.

Ini termasuk pihak media.

Mereka yang menjaga keselamatan negara dan tidak boleh meninggalkan tugas pada hari mengundi, maka undi mereka diatur lebih awal.

Begitu juga undi pos, yang dikeluarkan kepada petugas pilihan raya, rakyat Malaysia di luar negara, dan petugas media.

Seorang rakyat di perantauan juga tetap mempunyai suara terhadap kampung halamannya, walaupun dipisahkan lautan dan hutan belantara.

Setelah menelusuri semua langkah ini, proses pilihan raya sebenarnya satu rantaian amanah.

Sultan atau Yang di-Pertua Negeri menunaikan tanggungjawab pembubaran. SPR pula menjaga ketelusan.

Calon menyerahkan diri untuk dinilai.

Petugas, anggota keselamatan dan rakyat di perantauan semuanya menyumbang.

Hujung rantaian itu berada di tangan kita sebagai pengundi, iaitu pada sebatang pensel dan sehelai kertas undi.

Jangan sekali-kali kita memandang rendah kepada pangkah kecil itu.

la mungkin hanya dua garis bersilang, tetapi di sebaliknya ada jalan raya, sekolah, klinik, bekalan air dan masa depan anak cucu kita.

Sebelum pangkah bersuara, pastikan kita sudah semak nama, kenali calon, dengar dengan tenang dan hadir pada harinya.

Selepas itu, terimalah keputusan dengan lapang dada, sebab demokrasi paling indah apabila rakyatnya matang.

Maka apabila pak cik di kedai kopi itu bertanya lagi, “Bila bubar?”, saya ingin menjawab dengan soalan yang lebih penting:

“Kitak udah bersedia?”

BERITA LAIN

Penyokong The Cats tetap setia beri sokongan

KUCHING: Kesetiaan penyokong menjadi pembakar semangat Kuching City FC untuk bangkit daripada tiga kekalahan berturut-turut menjelang aksi penting menentang Gangwon FC dalam saingan Kumpulan H

BERITA TERBARU

Trauma penderaan imej janaan AI

MELBOURNE: Kira-kira satu daripada 15 orang dewasa di Australia, Britain dan Amerika Syarikat (AS) pernah mengalami penderaan berasaskan imej janaan kecerdasan buatan (AI), menurut satu

Pelaburan tenaga perlu pulangan saksama

KUALA LUMPUR: Projek intensif tenaga perlu dinilai bukan hanya berdasarkan nilai pelaburan, malah dari segi kesiapsiagaan infrastruktur, kecekapan tenaga, penyertaan pembekal tempatan, pembangunan kemahiran dan