ARTIKEL

Kedua-dua tertuduh keluar dari bilik Mahkamah Majistret ditemani oleh Pegawai Penyiasat Inspektor Logeswara Tharumalay@Krishnan.

Pergaduhan di Pasar Kenyalang Park, Dua Sahabat Masing-Masing Didenda RM800

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Gara-gara bergaduh kerana seorang wanita, dua sahabat masing-masing dijatuhkan hukuman RM800 atau penjara seminggu oleh Mahkamah Majistret hari ini, atas kesalahan bergaduh di tempat awam hingga mengganggu ketenteraman awam.

Dua sahabat berusia 27 dan 24 tahun tersebut masing-masing bekerja sebagai jurujual kereta, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bergaduh di tempat awam hingga mengganggu ketenteraman awam di sebuah kedai makan terbuka di Pasar Kenyalang Park, sekitar 4 pagi, 18 Oktober lalu.

Pendakwaan kes mengikut Seksyen 159 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 160 Kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu merupakan pemilik kedai makan melaporkan satu pertengkaran melibatkan dua lelaki yang tidak dikenali di kawasan meja makan awam berhampiran kedainya.

Laporan polis dibuat untuk tindakan dan siasatan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan kedua-dua tertuduh.

Hasil siasatan mendapati punca pergaduhan disebabkan tidak berpuas hati dan berasa cemburu apabila melihat bekas teman wanita keluar makan bersama-sama rakannya yang berusia 24 tahun tersebut.

Pergaduhan bermula apabila lelaki berusia 27 tahun tersebut menghentak meja dan menyiram air ke arah rakannya sebelum kedua-dua saling bertumbuk.

Akibat pergaduhan itu, kedua-dua tertuduh mengalami kecederaan ringan dan enam biji gelas telah pecah. Pergaduhan terbabit berjaya dileraikan oleh orang awam.

Aksi pergaduhan mereka dirakam kamera litar tertutup, rakaman video daripada telefon pintar dan beberapa orang saksi.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Aqila Morsalin, manakala siasatan kes dilakukan oleh Pegawai Penyiasat Inspektor Logeswara Tharumalay@Krishnan.

Kedua-dua tertuduh hadir ke mahkamah tidak diwakili peguam.

BERITA LAIN

PJ Reds sasar ke separuh akhir

KUCHING: Kejohanan Bola Sepak sempena Festival LFC Se-Borneo Edisi Ke-10 2026 akan berlangsung di Lahad Datu, Sabah pada Sabtu dan Ahad ini. Jika kebanyakan pasukan

BERITA TERBARU

PJ Reds sasar ke separuh akhir

KUCHING: Kejohanan Bola Sepak sempena Festival LFC Se-Borneo Edisi Ke-10 2026 akan berlangsung di Lahad Datu, Sabah pada Sabtu dan Ahad ini. Jika kebanyakan pasukan