ARTIKEL

Tujuh Veteran ATM Sarawak Terima Geran Keusahawanan RM42,000

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Seramai tujuh veteran tentera di Sarawak menerima geran berjumlah RM42,000 menerusi Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) bagi memperkukuh kegiatan perniagaan dan meningkatkan keupayaan keusahawanan mereka.

Pemberian geran itu merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pertahanan menerusi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) untuk membantu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan veteran mempersiapkan diri menghadapi kehidupan selepas tamat perkhidmatan.

Ketua Pengarah PERHEBAT, Datuk Amir Md. Noor berkata, pengiktirafan kemahiran dan pengalaman menerusi Program Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT), membuka peluang kepada anggota ATM memperoleh kelayakan diploma berdasarkan pengalaman sepanjang perkhidmatan.

Menurutnya, program yang dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) sejak 2017 itu membolehkan anggota menamatkan perkhidmatan dengan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia atau Diploma Kemahiran Malaysia.

“Sejumlah 7,088 anggota dan veteran tentera berjaya ditauliahkan Diploma Kemahiran Malaysia sejak 2017.

“Anggota yang akan menamatkan perkhidmatan berpeluang memperoleh kelayakan diploma berdasarkan pengalaman dan kemahiran yang dibina sepanjang berkhidmat.

“Inisiatif PPT meningkatkan kebolehpasaran dan daya saing mereka dalam industri, sekali gus memastikan kesinambungan kerjaya kedua yang bermaruah,” katanya dalam satu kenyataan.

Setakat ini, PPT mengiktiraf 43 bidang perkhidmatan ATM, antaranya Kejuruteraan Penyelenggaraan Pesawat (Avionik), Pengurusan Operasi Sekuriti, Pengurusan Pentadbiran, Pengurusan Operasi Selam Skuba dan Pengurusan Operasi Logistik.

Inisiatif itu turut merangkumi bidang kepimpinan muzik serta penyeliaan operasi pengangkutan darat, sekali gus membolehkan pengalaman anggota disesuaikan dengan keperluan industri.

Sehubungan itu, laporan Pelan Transformasi PERHEBAT merekodkan seramai 1,409 bakal pesara dan veteran memperoleh manfaat menerusi inisiatif Kerjaya Kedua Perwira sehingga September 2026.

“Daripada jumlah itu, seramai 781 veteran berjaya memperoleh pekerjaan dalam sektor aeroangkasa, automotif, logistik dan perkhidmatan dengan purata gaji antara RM2,970 hingga RM5,000.

“Manakala 628 bakal pesara mengikuti latihan di industri sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan selepas menamatkan perkhidmatan ketenteraan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, PERHEBAT turut memperkukuh kerjasama dengan pemain industri bagi memastikan kepakaran serta pengalaman anggota ATM dapat dimanfaatkan dalam pelbagai sektor ekonomi.

Jelasnya, setakat ini, PERHEBAT bekerjasama dengan 513 agensi dan syarikat swasta merentasi pelbagai industri bagi memadankan kumpulan tumpuan ini dengan kemahiran yang dimiliki.

“Nilai dan kepakaran anggota ATM tidak pernah pudar walaupun selepas tamat perkhidmatan. Mereka kekal sebagai aset strategik negara, bersandarkan kepada kualiti modal insan, kepakaran dan pengalaman dalam pelbagai bidang,” tambahnya.

Terdahulu, majlis penyampaian geran tersebut disempurnakan oleh Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi, dengan diiringi Ketua Sektor Sokongan Latihan, Kewangan dan Pentadbiran PERHEBAT, Dr Nor Hayati Yahya, sempena Majlis Konvokesyen PERHEBAT Ke-71 bagi Negeri Sarawak di Dewan Suarah Kota Samarahan, semalam.

Menurut PERHEBAT, seramai 313 veteran ATM di seluruh negara telah menerima manfaat padanan dana berjumlah RM1.6 juta menerusi inisiatif berkenaan sejak dilaksanakan.

Dalam majlis sama, seramai 264 anggota hadir menerima Sijil Latihan Peralihan, manakala 16 anggota dan veteran dianugerahkan Diploma Kemahiran Malaysia.

BERITA LAIN

Sarawak sasar lahirkan 400 doktor menjelang 2032

KOTA SAMARAHAN: Sarawak berhasrat melahirkan 400 graduan perubatan menjelang 2032 menerusi peluasan program penajaan pendidikan bagi menangani kekurangan doktor, khususnya di kawasan pedalaman negeri ini.

BERITA TERBARU