KOTA SAMARAHAN: Kerjasama antara universiti, kerajaan dan industri di Sarawak perlu melangkaui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU), sebaliknya diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran dan penyelesaian masalah sebenar industri.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, mahasiswa perlu diberikan peluang menyertai tugasan sebenar, manakala penyelidik pula perlu memahami cabaran yang dihadapi pihak pelaksana di lapangan.
“Ukuran kerjasama yang baik bukan hanya dengan bilangan memorandum yang ditandatangani, tetapi kemahiran yang diperoleh pelajar, masalah yang berjaya diselesaikan, peluang yang diwujudkan dan perubahan yang dapat dirasai oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-30 di Arena Gemilang, DeTAR Putra, di sini, hari ini.
Selain itu, Uggah berkata, industri juga perlu melihat bakat tempatan sebagai rakan yang mampu mencipta nilai dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, bukan sekadar tenaga kerja.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan ilmu yang diperoleh mahasiswa sepanjang pengajian dapat dimanfaatkan apabila mereka memasuki alam pekerjaan.
“Perkembangan dalam sektor tenaga baharu, teknologi digital, pertanian moden dan industri bernilai tinggi membuka ruang pekerjaan serta peluang ekonomi yang lebih luas kepada rakyat Sarawak.
“Bagaimanapun, peluang berkenaan memerlukan tenaga profesional yang bukan sahaja mempunyai kelayakan akademik, tetapi turut memiliki kemahiran praktikal dan keupayaan melaksanakan tugas dengan bertanggungjawab,” ujarnya.
Katanya graduan UNIMAS mempunyai peranan penting dalam memenuhi keperluan tenaga kerja negeri, termasuk sebagai jurutera, pendidik, ahli ekonomi, penyelidik dan pakar dalam pelbagai bidang profesional.
Justeru, beliau berharap hubungan universiti dan industri diperkukuh melalui program yang memberikan pendedahan pekerjaan sebenar serta meningkatkan keupayaan graduan memenuhi keperluan pasaran.




