KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengekalkan Elaun Tugas Pentadbiran Sekolah (ETPS) sebanyak RM120 sebulan kepada 2,504 Guru Kanan Mata Pelajaran (GKMP) yang kehilangan kelayakan susulan penggredan semula sekolah.
Presiden STU Kullin Djayang berkata, keputusan menarik balik elaun itu dikhuatiri menjejaskan motivasi guru untuk memegang jawatan GKMP kerana tanggungjawab mereka kekal sama walaupun sekolah diturunkan daripada Gred A kepada Gred B.
Menurutnya, jawatan GKMP bukan sekadar gelaran, sebaliknya memerlukan komitmen besar dalam menyelaras panitia mata pelajaran, membimbing guru baharu, memantau pencapaian murid serta membantu pengurusan sekolah.
“Sama ada sekolah itu Gred A, B atau C, beban tugas GKMP adalah sama. Mereka perlu menyelaras panitia, membimbing guru baharu, memantau prestasi murid dan membantu pengurusan sekolah.
“Penarikan balik elaun RM120 sudah tentu akan menyebabkan guru kurang berminat untuk memegang jawatan GKMP kerana tanggungjawab yang dipikul tidak berkurangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kullin berkata, seramai 2,504 GKMP di seluruh negara terjejas selepas 626 sekolah menengah diturunkan daripada Gred A kepada Gred B, menyebabkan mereka tidak lagi layak menerima ETPS walaupun tugas harian tidak berubah.
Sehubungan itu, beliau mengemukakan tiga cadangan kepada KPM dan JPA bagi memastikan kebajikan guru terbabit terus terpelihara, termasuk mengekalkan pemberian elaun berdasarkan jawatan serta tanggungjawab sebenar, bukannya semata-mata gred sekolah.
“Bilangan murid juga tidak seharusnya dijadikan syarat yang menentukan sama ada seseorang GKMP layak menerima elaun berkenaan.
“Sekiranya kerajaan mahu memperkenalkan kaedah pembayaran secara berperingkat, dicadangkan agar kadar itu mengambil kira bilangan murid, beban tugas, kerumitan mata pelajaran serta keadaan sekolah luar bandar,” ujarnya.
Menerusi cadangan itu katanya, GKMP di sekolah yang mempunyai 100 hingga 500 murid boleh menerima RM60 sebulan, manakala sekolah dengan 501 hingga 1,000 murid menerima RM80 dan sekolah yang mempunyai lebih 1,000 murid menerima RM120.
Beliau turut menggesa KPM dan JPA memberikan jaminan bertulis bahawa GKMP yang terjejas tidak akan diarahkan memulangkan semula elaun yang diterima sebelum ini.
“Pendirian kami mudah, hargai kerja yang dilaksanakan dan lindungi kebajikan guru yang sedang berkhidmat. Jangan biarkan sistem melemahkan semangat guru untuk tampil memimpin,” tegasnya.
Justeru, beliau berharap KPM dan JPA meneliti semula dasar pemberian elaun tersebut dengan mengambil kira tanggungjawab sebenar GKMP supaya keputusan penggredan sekolah tidak menjejaskan kebajikan serta kesediaan guru untuk memikul tugas kepimpinan
Sementara itu, KPM dalam kenyataan pada 3 November lalu memaklumkan pembayaran ETPS yang tidak lagi memenuhi syarat kelayakan akan dihentikan mulai November 2026, selaras dengan peraturan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam.




