ARTIKEL

Mohd Shuhaily Tinjau Kesiapsiagaan Operasi Sempadan di Sarawak


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Hanya sehari selepas kembali bertugas pada Isnin lalu, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain turun padang meninjau kesiapsiagaan operasi serta kebajikan anggota di beberapa lokasi strategik sempadan Malaysia-Indonesia di Sarawak.

Lawatan kerja yang bermula pada Selasa itu menyaksikan beliau mengunjungi beberapa pos kawalan di sektor Serian–Tebedu sebelum meneruskan tinjauan ke Pos Kawalan Sempadan Batu Lintang pada Rabu.

Menurut hantaran AKPS di media sosial, lawatan berkenaan bertujuan menilai pelaksanaan operasi kawalan sempadan, selain mengenal pasti cabaran yang dihadapi anggota dalam memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara.

Pada Selasa, Mohd Shuhaily mengadakan lawatan ke Pos Kawalan Sempadan Bunan Gega, Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Mongkos serta Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu.

Tinjauan di sektor Serian–Tebedu itu memberi tumpuan kepada tahap kesiapsiagaan operasi dan keupayaan penguatkuasaan, khususnya dalam memperkukuh kawalan keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia-Indonesia.

Selain meneliti keberkesanan langkah kawalan sedia ada, perhatian turut diberikan kepada usaha menambah baik sistem pemantauan sempadan serta memperkukuh penyelarasan antara agensi penguat kuasa.

Lawatan kerja tersebut diteruskan pada Rabu apabila Mohd Shuhaily mengunjungi Pos Kawalan Sempadan Batu Lintang bagi meninjau pelaksanaan operasi harian serta bertemu anggota yang bertugas di lapangan.

Menurut AKPS, lawatan itu turut memberi ruang kepada beliau untuk mendengar sendiri permasalahan dan memahami cabaran yang dihadapi petugas dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan sempadan negara.

Aspek kebajikan anggota turut diberikan perhatian bagi memastikan keperluan mereka dapat diteliti, sekali gus membolehkan langkah penambahbaikan diusahakan untuk menyokong kelancaran tugas serta kesiapsiagaan operasi.

AKPS turut menekankan bahawa kebajikan petugas yang terpelihara menjadi antara asas penting dalam memperkukuh kawalan dan keselamatan sempadan negara.

Selain Batu Lintang, AKPS turut memaklumkan lawatan kerja Mohd Shuhaily ke ICQS Lubok Antu menerusi hantaran media sosial bertarikh 4 November.

Rangka lawatan berkenaan mencerminkan tumpuan keperluan operasi dan kebajikan petugas di lapangan, khususnya dalam memastikan kawalan keselamatan di sepanjang sempadan Sarawak dengan Indonesia dapat dilaksanakan secara berkesan.

BERITA LAIN

Sarawak sasar lahirkan 400 doktor menjelang 2032

KOTA SAMARAHAN: Sarawak berhasrat melahirkan 400 graduan perubatan menjelang 2032 menerusi peluasan program penajaan pendidikan bagi menangani kekurangan doktor, khususnya di kawasan pedalaman negeri ini.

BERITA TERBARU

Sarawak sasar lahirkan 400 doktor menjelang 2032

KOTA SAMARAHAN: Sarawak berhasrat melahirkan 400 graduan perubatan menjelang 2032 menerusi peluasan program penajaan pendidikan bagi menangani kekurangan doktor, khususnya di kawasan pedalaman negeri ini.