KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) perlu memperkukuh peranannya sebagai rakan pemikir kerajaan negeri dengan menawarkan hasil penyelidikan dan kepakaran akademik bagi menyelesaikan isu pembangunan yang dihadapi rakyat.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kepakaran universiti tidak seharusnya terhad kepada bidang pengajaran dan penerbitan akademik, sebaliknya perlu dimanfaatkan secara langsung dalam proses membuat keputusan.

“Isu seperti pengangkutan luar bandar, bekalan utiliti, produktiviti komuniti, pembangunan bakat dan perlindungan warisan memerlukan sokongan penyelidikan yang teliti serta berasaskan keadaan sebenar di lapangan.
“Saya ingin melihat UNIMAS semakin menonjol sebagai rakan pemikir pembangunan Sarawak kerana apabila isu pengangkutan luar bandar, bekalan utiliti, produktiviti komuniti, pembangunan bakat atau perlindungan warisan dibincangkan, kepakaran universiti sepatutnya menjadi antara sumber yang dirujuk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-30 di Arena Gemilang, DeTAR Putra, di sini, hari ini.


Dalam pada itu, Uggah menegaskan, Sarawak memerlukan universiti yang berani mengenal pasti masalah penting, tekun mendapatkan bukti dan bersedia bekerjasama dengan kerajaan serta masyarakat.
“Hubungan antara UNIMAS dengan kerajaan negeri perlu berasaskan tanggungjawab bersama dengan universiti berperanan melahirkan bakat serta menghasilkan pengetahuan yang boleh membantu merangka penyelesaian lebih berkesan,” jelasnya.


Sehubungan itu, beliau berharap hasil penyelidikan universiti dapat diterjemahkan kepada manfaat nyata, terutama dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat dan memperkukuh keberkesanan pelaksanaan dasar pembangunan negeri.






