KOTA SAMARAHAN: Pengiktirafan Sarawak Delta sebagai UNESCO Global Geopark pada April lalu membuka ruang lebih luas kepada Sarawak untuk memperkukuh penyelid aikan, pendidikan dan pembangunan komuniti berasaskan kekayaan geologi serta biodiversiti negeri.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pengiktirafan antarabangsa itu bukan sekadar meningkatkan profil negeri, malah menyediakan peluang untuk memperluas penerokaan ilmu berkaitan warisan alam semula jadi.
“Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mempunyai peranan penting untuk memanfaatkan keistimewaan Sarawak, termasuk kekayaan biodiversiti, hutan hujan Borneo, sungai serta pengetahuan masyarakat peribumi.
“Usaha universiti membangunkan Biodiversity Nexus Blueprint pada 2026 merupakan langkah penting untuk memperkukuh penyelidikan biodiversiti melalui penggabungan kepakaran akademik, teknologi, industri dan masyarakat.
“Saya berharap usaha ini akan terus diperkasakan agar ilmu dan pengetahuan masyarakat tempatan dapat dipelihara, didokumentasikan dan dimanfaatkan secara bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-30 di Arena Gemilang, DeTAR Putra, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Uggah memberitahu, hasil penyelidikan berkenaan perlu memberikan manfaat nyata kepada komuniti setempat, selain memastikan warisan alam dan budaya Sarawak terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Tambahnya, kepelbagaian bahasa, budaya dan pengetahuan masyarakat peribumi merupakan sumber ilmu bernilai yang perlu diteroka serta didokumentasikan secara sistematik.
Katanya, penyelidikan biodiversiti juga perlu menghubungkan kepakaran universiti dengan keperluan masyarakat dan sektor industri supaya hasilnya tidak terhenti sebagai pengetahuan akademik semata-mata.
Justeru, beliau berharap UNIMAS terus memperluas penyelidikan berkaitan biodiversiti dan warisan tempatan bagi menyokong pembangunan mampan serta meningkatkan nilai khazanah semula jadi Sarawak.
Sementara itu, Uggah menegaskan graduan anak Sarawak yang membina kerjaya di luar negeri atau negara tetap berpeluang menyumbang kepada pembangunan tanah kelahiran melalui kepakaran, jaringan profesional, pelaburan dan pengalaman yang diperoleh.
Jelasnya sumbangan kepada negeri tidak semestinya memerlukan seseorang menetap atau bekerja di Sarawak sepanjang hayat tetapi pengalaman yang dikumpulkan di luar negeri boleh dimanfaatkan untuk membuka peluang baharu kepada Sarawak, termasuk melalui penyelidikan, hubungan profesional dan perkongsian kepakaran.
Tambah Uggah, Sarawak memerlukan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan dan berdaya saing, tetapi turut mampu membawa perubahan serta mencari penyelesaian terhadap masalah masyarakat.




