KUCHING: Kejohanan Bola Sepak sempena Festival LFC Se-Borneo Edisi Ke-10 2026 akan berlangsung di Lahad Datu, Sabah pada Sabtu dan Ahad ini.
Jika kebanyakan pasukan terlibat turun dengan misi masing-masing, wakil dari Sarawak, Petra Jaya Reds (PJ Reds) turut memasang impian tersendiri iaitu cuba untuk layak ke peringkat separuh akhir.
Pengurus pasukan PJ Reds, Rosmaini Jemain memberitahu, misi yang dilihat agak mencabar menanti para pemain pada penampilan kali ini.
Bagaimanapun, beliau yakin keinginan tersebut dapat direalisasi sepenuhnya dengan menuntut komitmen jitu daripada semua pemain terlibat.
“Kita siap sedia untuk turun mengharungi kejohanan kali ini.
“Impian kita cuba untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir,” ujar Rosmaini kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Rosmaini, beliau tidak melihat laluan mudah untuk pasukannya kerana pasukan lain yang turut serta turut mempersiapkan diri.
Kejohanan dua hari itu turut disertai pasukan Kelab Penyokong Liverpool dari Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan negara jiran iaitu Brunei Darussalam.




